Jumaat, 29 Jun 2012

Projek Pemasangan Sistem Fertigasi di Raub, Pahang

Projek pemasangan sistem fertigasi terbuka untuk 200 beg cili kulai 469 telah siap dijalankan di Taman Sentosa, Raub, Pahang atas permintaan Mr Ramesh. Hanya mengambil masa satu hari untuk disiapkan dan proses penanaman dijangka dijalankan dalam jangkamasa seminggu sahaja lagi berdasarkan kepada pertumbuhan anak pokok cili yang sedang ditanam di Ladang Nia agrotech, Sg Buloh. 

Ini merupakan satu projek yang pertama bagi tahun 2012 untuk syarikat yang melibatkan penanaman cili kulai 469 di Raub, Pahang dan diharapkan projek ini akan mampu berdaya saing dengan projek-projek yang lain dan mengeluarkan hasil seperti yang dijangkakan.

Untuk membantu para pengusaha, selain daripada mengadakan kursus-kursus tanaman secara fertigasi di ladang kami, pihak syarikat juga menyediakan SOP (Standard Operating Procedure) yang dibuat berdasarkan pengalaman yang dilalui sepanjang penglibatan syarikat dalam tanaman fertigasi sama ada cili atau pun rock melon. Diharapkan agar ini dapat dijadikan panduan untuk para pengusah berjaya dalam bidang pertanian moden ini.

Persiapan tempat dengan pemasangan silvershine di sekitar kawasan tanaman

Polibeg hitam digunakan berdasarkan kesesuaian jenis tanaman, ketahanan bahan dan kawasan tanaman. Namun memerlukan air yang banyak untuk mengelakkan daripada medium menjadi kering.

Projek Penanaman Rock Melon Di Sek Men Keb Aminuddin Baki, Kg Pandan, Kuala Lumpur

Projek Penanaman Rock Melon sebanyak 100 pokok telah siap dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kg Pandan, Kuala Lumpur.

Projek ini adalah dengan kerjasama Kelab Sains dan Matematik dan bimbingan Cikgu Azrina, Cikgu Karimah dan Cikgu Shah merupakan kesinambungan daripada kunjungan ahli-ahli kelab ke China tahun lepas untuk melihat sendiri proses pembelajaran dan pengajaran dalam bidang pertanian. Pihak syarikat telah diberi kepercayaan untuk membina Rumah Pelindung Hujan dan memasang sistem fertigasi untuk 100 pokok rock melon. Projek ini memakan masa 5 hari untuk disiapkan sepenuhnya. 

Kerja-kerja pemasangan dimulakan dengan aktiviti pembersihan kawasan serta pembinaan RPH dijalankan sebaik sahaja mendapat bahan binaan yang agak lewat tiba disebabkan kelewatan bekalan besi binaan. Dengan keluasan 20' x 20', RPH ini mampu memuatkan 100 pokok rock melon dan tambahan 10' x 10' untuk dijadikan rumah tangki. Sebaik sahaja selesai membina RPH, sistem pengairan fertigasi dipasang dengan menggunakan sistem automasi dan kawalan baja.

Proses penanaman dijalankan oleh para pelajar pada 27hb Jun 2012 dan dijangka akan mengeluarkan hasil pertama pada 4hb September 2012. Diharapkan projek ini akan dapat memberi manfaat dan membantu para pelajar untuk mendalami ilmu berkaitan tanaman rock melon.

Projek Pemasangan RPH Cendawan di Bukit Selambau, Kedah

Projek Pemasangan RPH untuk projek penanaman cendawan telah siap dibina oleh pihak syarikat. Satu projek yang agak ad-hoc diberikan kepada pihak syarikat melalui sub-kontrak oleh syarikat Ifad Design and Technology untuk disiapkan oleh kami. Projek mengambil masa 4 hari untuk disiapkan dan pelbagai pengalaman baru serta panduan dipelajari melalui projek ini.

Pertama, RPH boleh berfungsi sebagai rumah cendawan kerana bahan atau besi yang digunakan dalam pembinaan ini adalah tahan karat (Ultragalvanised) serta mempunyai struktur yang kuat dan tahan lama. Isunya adalah penggunaan plastik UV berwarna cerah menyebabkan suasana dalam rumah tersebut agak cerah dan tak sesuai untuk cendawan. Lantas penggunaan net hitam (Black Netting 90%) digunakan sebagai alas bumbung yang pertama sebelum dipasang dengan plastik UV. alternatif kepada penggunaan bahan-bahan ini adalah dengan menggunakan Black UV Plastik untuk bumbung. Ini akan dapat menyelesaikan masalah cerah dan terang di dalam rumah yang sesuai dengan pertumbuhan cendawan. 

Selain itu, rekabentuk dinding RPH ini juga perlu ditambah dengan jaluran besi untuk menyokong black netting yang dipasang di sekitar RPH. Langkah ini akan menjadikan dinding RPH ini menjadi lebih kemas dan mengurangkan masalah angin.

Diharapkan agar projek ini menjadi satu lagi projek pengembangan kepada pihak syarikat dalam merekabentuk dan membina rumah cendawan yang bersesuaian dengan permintaan pelanggan.