Selasa, 14 Disember 2010

Fertigasi:- Ciri-ciri pemilihan tapak

Mempunyai kawasan atau tapak sahaja tidak lengkap untuk menjalankan projek tanaman secara fertigasi sekiranya tidak mempunyai ciri-ciri berikut:-
  
1. Sumber Air yang Berkualiti dan Mencukupi
  • Sumber air adalah elemen yang utama dalam setiap kegiatan pertanian. Kawasan atau tapak perlu mempunyai sumber air yang berkualiti dan mencukupi untuk dibekalkan kepada tanaman. 
  • Sumber air tidak terhad kepada air sungai atau tasik semata-mata tetapi merangkumi sumber-sumber bekalan air dari pihak pengurusan air negeri, telaga dan telaga tiub (tube well) yang diperolehi dari dalam tanah.
  • Apa yang penting adalah kualiti air yang kita gunakan dan disesuaikan dengan kuantiti air diperlukan oleh tanaman. pH air perlu berada dalam keadaan beralkali (pH 6.5 - 7.5), bebas dari kotoran dan pencemaran bahan-bahan kimia yang menurunkan kualiti air tersebut. 
  • Klorin yang berlebihan juga perlu dielakkan untuk memelihara akar pokok daripada rosak. Bagi yang menggunakan air berklorin tinggi, pendedahan kepada cahaya matahari selama 24 jam dapat mengurangkan jumlah kandungan klorin apabila ia terpeluap ke udara.
  • Air yang terlalu berasid boleh dirawat menggunakan Natrium Hidroksida atau menggunakan asid hidroklorik sekiranya air terlalu beralkali. Perlu dipastikan juga akan kandungan garam yang tinggi disekitar 50 bsj akan mempengaruhi pengambilan kalsium dan boron menjadi toksid dalam air masin.
2. Mendapat Pendedahan Maksimum Kepada Cahaya Matahari dan Suhu Yang Maksimum.
  •  Kawasan tanaman perlu  mempunyai pendedahan cahaya matahari yang maksimum untuk dibekalkan kepada tanaman bagi menjalankan proses fotosintesis (proses membuat makanan). Elakkan daripada kawasan yang mempunyai bayang-bayang pokok atau bangunan di sekitar kawasan dan secara ringkasnya, kawasan mesti betul-betul lapang.
  • Pendedahan kepada cahaya matahari ini akan meningkatkan paras glukosa dalam daun yang amat diperlukan untuk menjadikan akar dan batang pokok menjadi sihat dan tegap serta menghasilkan buah yang berkualiti tinggi.
  • Tanaman memerlukan sehingga 6 - 8 jam sehari kepada pendedahan cahaya matahari dan setiap polibeg perlu disusun berorientasikan arah Utara - Selatan.
3. Kawasan Yang Mudah Diratakan
  • Kawasan tanaman perlu diratakan sebaik mungkin untuk melancarkan sistem pengairan terutamanya di kawasan berbukit. Aspek ini amat penting dan perlu diberi perhatian agar pembaziran dan kegagalan sistem pengairan dapat dielakkan.
  • Kawasan tanah berbukit perlu diratakan dengan kaedah 'cut and fill' dan ada sesetangah pengusaha di tanah tinggi Cameron Highlands menggunakan jentera pemampat untuk mendapatkan kawasan yang betul-betul rata dan padat. Namun kecerunan perlu dikurangkan untuk mengelakkan tanah runtuh disamping mengadakan sistem saliran air yang baik untuk mengelakkan banjir di dalam kawasan tanaman.
 4. Bukan Kawasan Laluan Angin Kencang
  • Pastikan kawasan tanaman bukan laluan agin kencang bagi mengelakkan pokok tumbang dan yang lebih teruk, menyebabkan kemusnahan kepada RPH yang dibina.
  • Sekiranya tidak mempunyai pilihan, pastikan struktur yang hendak dibina dan sistem 'trailis' kukuh dengan mengambil kira risiko yang bakal ditanggung.
5. Mempunyai Bekalan Elektrik
  • Elektrik atau tenaga ini diperlukan untuk menghidupkan pam yang digunakan dalam sistem ini. Terdapat pelbagai alternatif untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di kawasan-kawasan terpencil seperti menggunakan generator, pam berkuasa diesel atau petrol serta tarikan graviti.
  • Namun sekiranya kawasan tanaman mempunyai akses yang mudah untuk bekalan elektrik, aspek ini perlulah diutamakan untuk mengurangkan kos pengeluaran kelak. Ini kerana penggunaan generator dan pam akan meningkatkan kos pembelian minyak diesel atau petrol dan dalam situasi sekarang di mana harga bahan api ini semakin meningkat, adalah lebih baik jika kawasan tanaman itu mempunyai kuasa elektrik dari TNB atau pun mendapat kuasa dari sumber-sumber yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar.
6. Berhampiran Dengan Kawasan Kediaman
  • Bukanlah bermakna kawasan tanaman perlu berada di dalam kawasan kediaman. ini adalah agak mustahil dilakukan sekiranya tinggal di kawasan bandar atau pun di apartment.
  • Apa yang ditekankan disini adalah jarak antara kawasan kediaman dengan kawasan tanaman berada dalam lingkungan 45 minit perjalanan agar proses pemantauan dapat dilakukan dengan berkesan dan sekiranya mempunyai apa-apa masalah berkaitan tanaman, 'troubleshooting' dapat dilakukan dengan segera.
7. Infrastruktur yang Baik
  • Kawasan tanaman perlu mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik termasuk pagar, jalan penghubung, saliran dan kemudahan asas yang lain agar proses penjagaan dan kebajikan terutamanya para pekerja dapat dijaga dengan baik.

Ini adalah ciri-ciri yang perlu diambil perhatian untuk melaksanakan sistem tanaman fertigasi. Memang agak memakan kos yang tinggi terutamanya dalam aspek penyediaan tapak dan infrastruktur tetapi sekiranya aspek ini dijalankan dengan sempurna, para pengusaha tidak akan menghadapi masalah-masalah yang sukar pada masa yang akan datang. Jika dibandingkan dengan sistem konvensional, kerja-erja penyediaan tapak fertigasi ini agak memakan masa yang panjang namun sekiranya dilihat daripada hasilnya kelak, amatlah berbaloi-baloi...