Rabu, 16 Mei 2012

My Vision : Rock Melon Valley @ RM Valley..

Visi utama saya dalam pertanian ini adalah untuk membangunkan sebuah kawasan tanaman secara berpusat yang di kenali sebagai 'Rock Melon Valley" atau "RM Valley" di Malaysia.

Perancangan ini telah dilakukan sejak tahun 2010 lagi memandangkan permintaan buah rock melon di Malaysia mula mendapat perhatian pada masa itu sedangkan pengeluaran tempatan amat kurang dan kebergantungan kepada buah yang diimport sahaja. Namun hasrat in imasih belum tercapai sehingga ke hari ini memandangkan kos nya yang tinggi dan amat memerlukan bantuan dana yang besar. 

Sehingga kini, hasrat dan cita-cita ini tidak terkubur begitu saja. Hanya menanti masa dan lokasi yang sesuai untuk direalisasikan. Kertas kerja yang lengkap telah saya sediakan dan berharap suatu hari nanti, impian ini akan terlaksana dengan jayanya. Walau pun pada masa sekarang, boleh dikatakan projek tanaman secara fertigasi ini sama ada untuk cili, rock melon dan timun sedang hebat diperkatakan dan mendapat respon yang positif daripada masyarakat namun masih belum ada satu kawasan yang betul-betul menumpukan kepada penanaman rock melon ini secara berpusat. Impaknya, tidak ada penjadualan tanaman dan hasil tuaian, menyebabkan pekebun kecil menghadapi masalah dari segi pemasaran.

Ada cadangan untuk menjadikan projek ini sebagai projek inkurbasi, namun saya sendiri takut akan projek ini akan menjadi satu lagi 'scam' yang membuatkan masyarakat hilang keyakinan kepada sistem tanaman ini, sebagai mana yang terjadi di Sabah pada tahun 2009 yang lalu.

Kerajaan memang mempunyai peruntukan yang banyak untuk bidang ini, serta syarikat-syarikat swasta mahupun individu yang mempunyai kemampuan dana untuk mewujudkan RM Valley. Namun bukan mudah untuk meyakinkan mereka impak yang terhasil dari kewujudan RM Valley ini dan memandangkan budgetnya yang agak tinggi, bagi saya...ramai yang sudah mengundurkan diri. Cuma harapan saya agar kewujudan RM Valley nanti bukanlah untuk dipolitikkan, tetapi mempunyai matlamat sama ada untuk mendapatkan keuntungan melalui projek pertanian atau untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan tertentu melalui penubuhan sebuah koperasi yang menguruskan dana dan dividen.

Disebalik usaha saya untuk merealisasikan RM Valley ini, saya amat berharap agar diberi keizinan-Nya untuk menjadi kenyataan suatu hari nanti. Mungkin ada pihak mengatakan cita-cita ini terlalu besar dan agak sukar dilaksanakan, namun perlu diingat bahawa sebuah kejayaan bermula dengan impian dan cita-cita, semakin banyak yang tertawa dengan cita-cita kita, maknanya memang tinggilah apa yang kita idamkan. Berjaya atau tidak untuk mewujudkan RM Valley ini, bergantung kepada keyakinan dan usaha yang bersepadu semua pihak yang terlibat nanti.