Isnin, 11 Ogos 2008

Cili Fertigasi;- Dari Hobi ke Ladang..

Dalam perbincangan dengan rakan-rakan sepejuangan, kebanyakkan mereka berminat dengan penanaman cili secara fertigasi. Namun atas sebab-sebab tersendiri, ada kalangan mereka yang ingin mencuba dahulu penanaman cili fertigasi ini secara kecil-kecilan sebelum melangkah kepada pembukaan ladang sendiri.

Satu persoalan yang ada di fikiran, adakah satu langkah yang bijak untuk mencuba secara kecil-kecilan dahulu sebelum membuka ladang sendiri? Kita cuba menyingkap kembali antara faktor-faktor terjadinya senario ini sekarang dan impaknya untuk masa hadapan...sekadar satu pendapat peribadi...

Antara faktor-faktor yang sering diutarakan adalah seperti berikut:-

1. Kekurangan Modal untuk membuka ladang
- Untuk membuka sebuah ladang fertigasi memerlukan modal yang agak besar, hampir RM90,000.00 seekar. Untuk mendapat modal permulaan ini agak mustahil atau sukar bagi sesetengah orang menyebabkan mereka 'risau' dengan pelaburan yang tinggi, seolah-olah satu pelaburan jangka masa panjang yang belum pasti. Walau pun ada di antara kita berkemampuan pun, masih timbul kerisauan seperti ini memandangkan 'knowledge' dalam fertigasi ini masih lagi di peringkat awalan serta 'risau' tentang risiko pelaburan yang dibuat nanti.

2.Ingin belajar tentang selok-belok penanaman cili fertigasi dahulu sebelum berani mencuba untuk membuka ladang.
- Pendapat yang popular dikalangan penanam cili fertigasi secara mini. (antara 10 - 500 beg). Perasaan ingin tahu serta minat dengan kaedah penanaman ini membuatkan mereka mencuba secara kecil-kecilan dahulu dengan niat untuk mempelajari selok-belok penanaman, sistem dan penyakit yang berkaitan.

3.Komitmen masa dan tenaga yang agak terhad.
- Rata-rata orang yang berminat masih bekerja sepenuh masa dengan kerajaan atau pun swasta menyebabkan sukar untuk memberikan komitmen dari segi masa dan tenaga. Memang tidak dinafikan, penanaman secara fertigasi ini adalah secara automatik dan tak memerlukan masa yang panjang berbanding dengan 'nature farming' tetapi penanaman cili ini masih memerlukan penjagaan yang konsisten dan rapi seolah-olah 'menjaga baby' yang masih kecil. kegagalan menjaga dengan baik boleh membawa kepada pelbagai permasalahan yang bakal timbul. Ada juga dikalangan kita yang berhasrat untuk mengusahakan sepenuh masa kaedah penanaman ini namun mahu mencuba dahulu secara kecil-kecilan sebelum 'berani' meletakkan surat resign dengan majikan masing-masing.

Impak dan penyelesaian...sekadar pendapat..,

Ketiga-tiga faktor ini sering berkait antara satu sama lain. Yang penting ketahanan dan kekuatan serta keazaman diri untuk sama ada menjadikan bidang pertanian ini sebagai satu sumber pendapatan hidup atau sekadar berada di pinggiran.

Masalah kekurangan modal boleh diatasi dengan pelbagai jenis pinjaman termasuk pinjaman peribadi, kawan-kawan, saudara mara dan pelbagai agensi kerajaan yang sudi memberi pinjaman untuk pertanian. Walau pun kekadang pelbagai karenah birokrasi yang akan kita hadapi namun sekiranya kita bertekad untuk mendapatkan modal serta pinjaman, pasti ada jalan.

Masalah komitmen masa dan tenaga hanya dapat diatasi dengan dua cara. Pertama, membuat perancangan yang sempurna untuk beralih ke bidang pertanian, berani serta tawakal dengan meletakkan jawatan sekarang untuk menjadi usahawan atau petani moden. Jika dikira tentang komitmen hutang yang ditanggung semasa bekerja sekarang termasuk bayaran kad kredit, ansuran rumah, sara hidup keluarga dan sebagainya, memang tiada kesudahannya. Naluri manusia ini sentiasa cuba untuk menambahkan hutang dan sememangnya sukar untuk hidup tanpa hutang. Kalau sanggup, terus melangkah ke bidang pertanian ini dan bersedia dengan apa saja yang datang. Memang senang untuk kita bercakap, namun in terletak kepada pertimbangan diri masing-masing. Kedua, sekiranya ada modal atau mampu mencari modal serta tanah sama ada disewa atau kepunyaan sendiri tapi tak mampu untuk memberikan komitmen, upah saja orang lain untuk memasang dan menjaga kebun kita sendiri. Pertanian secara fertigasi ini bukannya perlu mangangkat cangkul setiap hari malah kerja penjagaan menjadi mudah sekiranya ada yang mampu untuk menjaganya bagi pihak kita. Apa yang perlu kita lakukan, datang ke ladang sekadar melihat, mempelajari sedikit sebanyak dan yang paling penting mengutip hasil jualan tuaian ladang. Sekadar pandangan.....

Maslaah ingin belajar, semakin besar kita buka ladang semakin banyak masalah yang perlu kita hadapi dan semakin besar masalah maka semakin luar pengetahuan dan pengalaman. itu saja yang dapat disimpulkan.

Namun tidak ada masalah tentang perasaan ingin mencuba dan bermula dengan kecil-kecilan ini. Yang penting keazaman dan sikap tidak mengenal letih dan putus asa. Ada yang bermula secara kecil dan sekarang sudah mampu mengusahakan ladang seluas 3-4 ekar. Jadi penyelesaian ini terletak pada diri sendiri...

Fakta kes 1:-

Usahawan baru, En Jaafar dan Cik Wahida yang sudah membuka ladangnya sendiri dan sekarang sedang seronok mengutip hasil cilinya. Pelbagai halangan yang ditempuhi sebelum dapat merealisasikan impiannya itu. Bermula dengan masalah kewangan, masalah mencari tanah yang sesuai, mencari pekerja sehinggalah masalah pengurusan. Namun berkat kesabaran dan kesungguhan beliau, akhirnya dapat menikmati hasil pulangan yang baik. Beliau sebelum ini adalah seorang pekerja swasta di syarikat komputer di Bukit Damansara, mempunyai keluarga dengan 2 orang anak yang masih kecil, sanggup berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pertanian. Sekarang pengeluaran kebunnya yang sudah mencapai hampir 80kg sehari dengan harga jualan RM6.00 sekilogram.

Fakta Kes 2:-
En Marno bersama Pak ciknya di Paya Jaras juga amat berminat dalam bidang pertanian. Namun komitmen kerja yang sibuk menyebabkan mereka tak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kebun yang baru mula naik. Namun penyelesaian yang dibuat adalah dengan mengupah pekerja untuk menjaga kebunnya di samping meluangkan masa di hujng minggu malah sebelum dan selepas pulang dari kerja untuk melihat permasalahan yang ada di kebun mereka. Mereka masih bekerja hingga sekarang dan insyaallah sekira segala berjalan dengan baik, akan mula mengutio hasil pada Oktober 2008. Saya berharap pelaburan yang dikeluarkan oleh mereka akan memberikan pulangan yang lumayan.

Fakta kes 3:-
Pn Rina dari Kampung Kubu Gajah, Sg Buloh, seorang suri rumah sepenuh masa telah berjaya menyiapkan projek mini fertigasinya di belakang rumah sebanyak 350 beg dengan tanaman bendi dan cili padi. Secara purata sekarang, pendapat bersih semusim untuk cili padi dan bendi saja telah mencecah RM1500.00 dan sekarang ini masih belum mampu untuk menampung pasaran yang semakin banyak permintaan. Insyaalah, bila masa yang sesuai nanti, beliau berhasrat untuk mengembangkan lagi penanaman cili fertigasi ini ke kawasan yang lebih luas atas tanah sendiri

Semuanya bergantung pada niat dan tekad diri masing-masing namun pertanian ini adalah satu cabang perniagaan yang luas...tapi di sebalik kejayaan seorang usahawan tani pasti ada kisah yang tersendiri, keperitan, kepayahan serta cabaran yang hebat sebelum mampu bergelar usahawan yang berjaya....cuma jangan cepat lupa diri....