Isnin, 7 Mei 2012

PEKERJA LADANG : ISU UTAMA DALAM PENGURUSAN

Dalam perniaagaan berasaskan pertanian ini terutamanya dalam menjalankan aktiviti pertanian, soalan yang selalu ditanya kepada saya adalah, "berapa luas ladang yang sedang diusahakan oleh saya sekarang?". Soalan ini seolah-olah menjadi perbandingan sejauhmana kejayaan seorang peladang dalam perniagaannya masa kini. Namun dalam menjalankan aktiviti pertanian berasaskan sistem fertigasi, dalam setiap kursus yang saya adakan telah diterangkan bahawa pertanian fertigasi tidak memerlukan kawasan yang luas kerana peladangan intensif seperti ini dapat memberikan pulangan yang berlipat kali ganda daripada peladangan konvensional.

Namun apa yang saya ingin kita bincangkan di sini bukanlah masalah keluasan ladang yang diusahakan tetapi mengenai isu pekerja ladang yang menjadi masalah utama dalam menjalankan sesuatu aktiviti pertanian. Sekiranya kita mempunyai 20 - 30 hektar kawasan sekalipun, tetapi isu pekerja ladang tidak dapat diselesaikan, maka segala usaha, wang ringgit atau modal yang dikeluarkan akan menjadi sia-sia. Secara umumnya, peladangan fertigasi hanya memerlukan 2 orang pekerja untuk seekar tanaman untuk menjalankan kerja-kerja ladang rock melon. Satu angka yang agak kecil berbanding peladangan konvensional. Namun halangan untuk mencari pekerja yang betul-betul sesuai dan berkebolehan untuk mengurus ladang ini agak sukar dan kebergantungan kepada pekerja asing amat tinggi memandangkan tenaga kerja tempatan yang tidak lagi berminat atau mampu bertahan lama dalam bidang ini.

Usaha kerajaan dalam menjalankan Program 6P amat baik dan memberi peluang kepada peladang-peladang kecil seperti saya untuk mendapatkan permit pekerja asing yang selama ini tiada peluang yang diberikan kepada saya. Sekiranya dahulu, para pengusaha ladang terpaksa memohon pekerja melalui agen dan sukar untuk mendapatkan kuota pekerja asing secara terus, tetapi melalui program ini, para pekerja saya telah di'putih'kan dan mendapat permit walaupun majikannya terpaksa bersengkang mata di Kompleks Imigresen semata-mata untuk mendapatkan permit. Amat berbaloi dan memberikan manfaat yang besar kepada saya.

Saya pernah mempunyai hampir 13 ekar kawasan tanaman yang diusahakan dengan tanaman secara fertigasi namun disebabkan kawasan ladang yang tidak setempat dan masalah mendapat pekerja ladang, menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mengekalkan ladang pertama saya di Kg Merbau Sempak dan mengabaikan yang lain bagi mengurangkan masalah serta bebanan kerja yang banyak. Pada masa itu, masalah untuk mendapatkan pekerja tempatan menemui jalan buntu, kalau ada pun, hanya membebankan lagi pengurusan ladang serta tiada ruang langsung untuk mendapatkan permit pekerja asing walaupun terdapat pekerja luar yang berminat untuk bekerja. Lantas saya merasakan, isu pekerja ladang ini akan kritikal dan perlu dititikberatkan sebelum memulakan sesuatu projek pertanian.

Tiada ulasan: