Jumaat, 2 April 2010

PEMASARAN: ASPEK UTAMA DALAM PERTANIAN KECIL DAN SEDERHANA

Isu utama yang sering dikemukakan oleh para usiahawan tani apabila menceburkan diri dalam bidang pertanian ini adalah PEMASARAN produk pertanian yang dihasilkan. Untuk mendalami perkara ini, beberapa isu perlu dilihat dan dibincangkan dalam menangani permasalahan ini. Antaranya:-
  • PEMASARAN HASIL TANI BERSKALA KECIL DAN SEDERHANA
Sebelum memulakan sesuatu perusahaan/perladangan sama ada secara kecil atau sederhana, aspek pemasaran perlu dititikberatkan melalui penyelidikan pemasaran. Saya rasa dalam semua buku teks pasti ada menyebut mengenai keperluan ini memandangka pemasaran adalah perkara paling utama untuk mendapatkan modal dan keuntungan dalam sesuatu perniagaan. Tetapi tidak pula dinyatakan bagaimana penyelidikan ini secara praktikalnya dijalankan. Berdasarkan pengalaman saya, penyelidikan pemasaran ini boleh dilakukan sendiri dan memerlukan pengorbanan masa, komitmen dan tenaga (melibatkan kos pengangkutan- duit minyak kereta) pengusaha sendiri.

Pengusaha perlu memastikan kuantiti hasil pengeluaran pertanian di ladang sendiri, corak pengeluaran hasil seperti kuantiti pengeluaran awal, masa puncak dan masa menurun hasil pengeluaran seperti cili dll, jenis atau variati benih yang ditanam, sistem, penggunaan racun perosak dan kos pengeluaran per kilogram hasil. Maklumat-maklumat ini amat penting dalam melaksanakan penyelidikan pemasaran untuk pengusaha kecil/sederhana.Berdasarkan maklumat-maklumat inilah nanti yang akan menentukan hala tuju pasaran hasil yang dikeluarkan. Contoh yang mudah, pengusaha ladang cili fertigasi yang mempunyai 1000 beg, dianggarkan dapat menghasilkan 2500 - 3000 kg selama 3 bulan tuaian (anggaran berdasarkan pengeluaran 2.5 - 3kg sepokok), pengeluaran hari pertama disekitar 2-3kg cili dan seterusnya meningkat kepada 70 - 100kg pada masa puncak dan menurun sehingga 5kg pada masa tuaian akhir. Aliran pengeluaran ini perlu diambil kira sekiranya pengusaha ingin melibatkan diri dengan pemborong-pemborong tempatan yang mahu memastikan hasil pengeluaran pengusaha dapat memenuhi kehendak pasaran mereka.

Selain itu, variati benih juga perlu diambil kira kerana ada sesetengah pemborong atau pembeli mempunyai spesifikasi yang tersendiri. Sebagai contoh, variati Cili Merah jenis Kulai 568 amat mudah diterima oleh kebanyakkan pemborong di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak manakala variati S469 pula, hanya segelintir pemborong yang menerimanya seperti KFC. Maka para pengusaha amat perlu memastikan variati mana yang paling sesuai ditanam agar tidak berlaku keadaan di mana hasil cili merah yang ditanam tidak dapat dijual.
  • AGENSI YANG DAPAT MEMBANTU UNTUK PEMASARAN HASIL TANI.
Agensi utama dalam memasarkan hasil tani di Malaysia adalah seperti FAMA dan MAFC (Malaysia Agri-Food Corporation). Namun pelbagai reaksi timbul berikutan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengusaha kecil/sederhana dalam mendapatkan khidmat pemasaran daripada agensi-agensi ini. Antaranya:-
  • Masalah harga pembelian yang terlalu rendah dibandingkan dengan kos pengeluaran dan pasaran semasa. - Masalah harga yang rendah adalah disebabkan agensi-agensi yang terlibat ini juga bertindak sebagai pemborong kepada pemborong dan bukannya terus kepada para peruncit/pembeli. disamping agensi ini bertindak sebagai Pusat Pengumpulan Hasil Tani/'Collection Centre' kepada pengusaha yang berminat untuk menjual hasil tani mereka dengan jaminan pembelian tanpa rasa ragu-ragu dari segi pembayaran. Maksudnya dalam erti kata lain, kalau dah jual pada agensi ini, dah keluar invoice pembelian, agensi ini akan tetap melakukan pembayaran walau lambat sekalipun, tak timbul soal 'lari dari bayar' sebagaimana yang selalu berlaku dengan pemborong-pemborong dari pasar-pasar borong. Nasihat saya, para pengusaha perlu berdaftar dengan FAMA atau mana-mana agensi pemasaran terlebih dahulu sama ada melalui konsep 'Contract Farming' dan sebagainya, memastikan harga pembelian dari agensi ini sama ada 'harga mati' atau mengikut harga pasaran semasa serta meminimumkan kos pengeluaran hasil tanpa menjejaskan kualiti hasil tani yang dikeluarkan. Biar untung sikit tapi jangan tak dapat langsung....
  • Masalah pembayaran tunai kepada pengusaha yang mengambil masa yang lama. - Memang sering kali terdengar rungutan tentang proses pembayaran yang lambat kepada para pengusaha selepas memasarkan hasil tani melalui agensi-agensi ini, sampai ada terhutang sampai 2-3 bulan. Sekiranya pihak agensi ini mengambil masa yang lama untuk melakukan pembayaran pada para pengusaha, bagaimana caranya untuk para pengusaha mengawal pusingan modal dan kos penanaman semula dalam masa yang ditetapkan dan ini akan mendatangkan kerugian yang besar kepada para pengusaha. Selain itu juga, terdapat kes pihak agensi membuat pembayaran mengikut harga yang paling rendah sehingga menjejaskan pendapatan para pengusaha dengan alasan hasil tidak berkualiti dan tidak mengikut spesifikasi sedangkan masa penghantaran diterima oleh pihak agensi, pemeriksaan kualiti hasil tani ini telah pun dilakukan dan perbincangan harga jualan telahpun dipersetujui bersama. Kes ini dialami oleh seorang sahabat saya yang cuba memasarkan 'Rock Melon' kepada pihak FAMA. Pihak FAMA telah menghantar pagawainya untuk memeriksa kualiti buah tersebut dan bersetuju bahawa buah yang akan dipasarkan nanti adalah berkualiti serta memenuhi spesifikasi yang ditetapkan. Kemudian harga pembelian telah dipersetujui dan buah telah dihantar kepada pihak FAMA. Malangnya apabila pembayaran hendak dilakukan, pihak FAMA mengatakan bahawa buah yang telah 'dirasa dan diuji' tersebut tidak berkualiti dan bayaran dengan harga terendah sahaja yang akan dilakukan kepada pengusaha. Mengapa keadaan seperti ini berlaku dan mengapa mengambil masa yang lama untuk menyatakan tentang kualiti buah tersebut sedangkan sebelum penghantaran dilakukan, tak timbul isu kualiti dan harga....Bayangkan, buah telah diambil, bila bayar siap ada diskaun lagi, naya jer sahabat saya tu...sedangkan kalau dihantar ke tempat lain atau dijual secara langsung pun, sahabat saya pasti tak mengalami kerugian yang teruk. Bukan saya menafikan peranan FAMA dalam membantu para pengusaha pertanian dalam pemasaran kerana pihak FAMA juga banyak membantu saya dalam bidang ini tapi dalam situasi yang berbeza cuma terdapat segelintir kes-kes terpencil yang berlaku menyebabkan para pengusaha hilang kepercayaan kepada kemampuan dan peranan agensi ini ditubuhkan. Nasihat saya, berhati-hati dengan pemasaran yang akan dilakukan kerana kita teruk menjaga dan mengeluarkan hasil dengan harapan untuk mendapat pulangan yang baik tapi orang lain pulak yang makan lebih sedangkan kita tak dapat apa-apa...kesian pengusaha pertanian...
Terdapat banyak lagi isu-isu mengenai pemasaran hasil tani yang dihadapi oleh pengusaha kecil/sederhana seperti saya...namun para pengusaha jangan menjadikan ini sebagai satu halangan untuk terus berjuang dalam bidang pertanian kerana inilah bidang perniagaan yang 'suci dan murni' apabila kita berbakti pada tanah. segala halangan yang mendatang perlu ditempuh dengan cara yang kreatif dan bijak agar segala usaha yang kita lakukan tidak sia-sia.

Saya akan terus membincangkan mengenai aspek pemasaran ini pada masa yang akan datang dan amat berharap maklumat-maklumat ini dapat dijadikan panduan untuk semua.

3 ulasan:

Abd Ghani berkata...

Salam.

Saya pun ada dgr satu agensi yg membayar insentif pengeluaran. Org dlm akan mintak utk setiap 2 tan pengeluaran, 1 tan dia punya untuk mempercepatkan pembayaran. Hampeh betul.

Tanpa Nama berkata...

may be ada kut macam tu..teruk la para petani..tanam teruk2 orang lain makan hasil...

chullen berkata...

Dengar citer FAMA amik harga sangat murah. Betul ker?