Isnin, 11 Ogos 2008

Cili Fertigasi;- Dari Hobi ke Ladang..

Dalam perbincangan dengan rakan-rakan sepejuangan, kebanyakkan mereka berminat dengan penanaman cili secara fertigasi. Namun atas sebab-sebab tersendiri, ada kalangan mereka yang ingin mencuba dahulu penanaman cili fertigasi ini secara kecil-kecilan sebelum melangkah kepada pembukaan ladang sendiri.

Satu persoalan yang ada di fikiran, adakah satu langkah yang bijak untuk mencuba secara kecil-kecilan dahulu sebelum membuka ladang sendiri? Kita cuba menyingkap kembali antara faktor-faktor terjadinya senario ini sekarang dan impaknya untuk masa hadapan...sekadar satu pendapat peribadi...

Antara faktor-faktor yang sering diutarakan adalah seperti berikut:-

1. Kekurangan Modal untuk membuka ladang
- Untuk membuka sebuah ladang fertigasi memerlukan modal yang agak besar, hampir RM90,000.00 seekar. Untuk mendapat modal permulaan ini agak mustahil atau sukar bagi sesetengah orang menyebabkan mereka 'risau' dengan pelaburan yang tinggi, seolah-olah satu pelaburan jangka masa panjang yang belum pasti. Walau pun ada di antara kita berkemampuan pun, masih timbul kerisauan seperti ini memandangkan 'knowledge' dalam fertigasi ini masih lagi di peringkat awalan serta 'risau' tentang risiko pelaburan yang dibuat nanti.

2.Ingin belajar tentang selok-belok penanaman cili fertigasi dahulu sebelum berani mencuba untuk membuka ladang.
- Pendapat yang popular dikalangan penanam cili fertigasi secara mini. (antara 10 - 500 beg). Perasaan ingin tahu serta minat dengan kaedah penanaman ini membuatkan mereka mencuba secara kecil-kecilan dahulu dengan niat untuk mempelajari selok-belok penanaman, sistem dan penyakit yang berkaitan.

3.Komitmen masa dan tenaga yang agak terhad.
- Rata-rata orang yang berminat masih bekerja sepenuh masa dengan kerajaan atau pun swasta menyebabkan sukar untuk memberikan komitmen dari segi masa dan tenaga. Memang tidak dinafikan, penanaman secara fertigasi ini adalah secara automatik dan tak memerlukan masa yang panjang berbanding dengan 'nature farming' tetapi penanaman cili ini masih memerlukan penjagaan yang konsisten dan rapi seolah-olah 'menjaga baby' yang masih kecil. kegagalan menjaga dengan baik boleh membawa kepada pelbagai permasalahan yang bakal timbul. Ada juga dikalangan kita yang berhasrat untuk mengusahakan sepenuh masa kaedah penanaman ini namun mahu mencuba dahulu secara kecil-kecilan sebelum 'berani' meletakkan surat resign dengan majikan masing-masing.

Impak dan penyelesaian...sekadar pendapat..,

Ketiga-tiga faktor ini sering berkait antara satu sama lain. Yang penting ketahanan dan kekuatan serta keazaman diri untuk sama ada menjadikan bidang pertanian ini sebagai satu sumber pendapatan hidup atau sekadar berada di pinggiran.

Masalah kekurangan modal boleh diatasi dengan pelbagai jenis pinjaman termasuk pinjaman peribadi, kawan-kawan, saudara mara dan pelbagai agensi kerajaan yang sudi memberi pinjaman untuk pertanian. Walau pun kekadang pelbagai karenah birokrasi yang akan kita hadapi namun sekiranya kita bertekad untuk mendapatkan modal serta pinjaman, pasti ada jalan.

Masalah komitmen masa dan tenaga hanya dapat diatasi dengan dua cara. Pertama, membuat perancangan yang sempurna untuk beralih ke bidang pertanian, berani serta tawakal dengan meletakkan jawatan sekarang untuk menjadi usahawan atau petani moden. Jika dikira tentang komitmen hutang yang ditanggung semasa bekerja sekarang termasuk bayaran kad kredit, ansuran rumah, sara hidup keluarga dan sebagainya, memang tiada kesudahannya. Naluri manusia ini sentiasa cuba untuk menambahkan hutang dan sememangnya sukar untuk hidup tanpa hutang. Kalau sanggup, terus melangkah ke bidang pertanian ini dan bersedia dengan apa saja yang datang. Memang senang untuk kita bercakap, namun in terletak kepada pertimbangan diri masing-masing. Kedua, sekiranya ada modal atau mampu mencari modal serta tanah sama ada disewa atau kepunyaan sendiri tapi tak mampu untuk memberikan komitmen, upah saja orang lain untuk memasang dan menjaga kebun kita sendiri. Pertanian secara fertigasi ini bukannya perlu mangangkat cangkul setiap hari malah kerja penjagaan menjadi mudah sekiranya ada yang mampu untuk menjaganya bagi pihak kita. Apa yang perlu kita lakukan, datang ke ladang sekadar melihat, mempelajari sedikit sebanyak dan yang paling penting mengutip hasil jualan tuaian ladang. Sekadar pandangan.....

Maslaah ingin belajar, semakin besar kita buka ladang semakin banyak masalah yang perlu kita hadapi dan semakin besar masalah maka semakin luar pengetahuan dan pengalaman. itu saja yang dapat disimpulkan.

Namun tidak ada masalah tentang perasaan ingin mencuba dan bermula dengan kecil-kecilan ini. Yang penting keazaman dan sikap tidak mengenal letih dan putus asa. Ada yang bermula secara kecil dan sekarang sudah mampu mengusahakan ladang seluas 3-4 ekar. Jadi penyelesaian ini terletak pada diri sendiri...

Fakta kes 1:-

Usahawan baru, En Jaafar dan Cik Wahida yang sudah membuka ladangnya sendiri dan sekarang sedang seronok mengutip hasil cilinya. Pelbagai halangan yang ditempuhi sebelum dapat merealisasikan impiannya itu. Bermula dengan masalah kewangan, masalah mencari tanah yang sesuai, mencari pekerja sehinggalah masalah pengurusan. Namun berkat kesabaran dan kesungguhan beliau, akhirnya dapat menikmati hasil pulangan yang baik. Beliau sebelum ini adalah seorang pekerja swasta di syarikat komputer di Bukit Damansara, mempunyai keluarga dengan 2 orang anak yang masih kecil, sanggup berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pertanian. Sekarang pengeluaran kebunnya yang sudah mencapai hampir 80kg sehari dengan harga jualan RM6.00 sekilogram.

Fakta Kes 2:-
En Marno bersama Pak ciknya di Paya Jaras juga amat berminat dalam bidang pertanian. Namun komitmen kerja yang sibuk menyebabkan mereka tak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kebun yang baru mula naik. Namun penyelesaian yang dibuat adalah dengan mengupah pekerja untuk menjaga kebunnya di samping meluangkan masa di hujng minggu malah sebelum dan selepas pulang dari kerja untuk melihat permasalahan yang ada di kebun mereka. Mereka masih bekerja hingga sekarang dan insyaallah sekira segala berjalan dengan baik, akan mula mengutio hasil pada Oktober 2008. Saya berharap pelaburan yang dikeluarkan oleh mereka akan memberikan pulangan yang lumayan.

Fakta kes 3:-
Pn Rina dari Kampung Kubu Gajah, Sg Buloh, seorang suri rumah sepenuh masa telah berjaya menyiapkan projek mini fertigasinya di belakang rumah sebanyak 350 beg dengan tanaman bendi dan cili padi. Secara purata sekarang, pendapat bersih semusim untuk cili padi dan bendi saja telah mencecah RM1500.00 dan sekarang ini masih belum mampu untuk menampung pasaran yang semakin banyak permintaan. Insyaalah, bila masa yang sesuai nanti, beliau berhasrat untuk mengembangkan lagi penanaman cili fertigasi ini ke kawasan yang lebih luas atas tanah sendiri

Semuanya bergantung pada niat dan tekad diri masing-masing namun pertanian ini adalah satu cabang perniagaan yang luas...tapi di sebalik kejayaan seorang usahawan tani pasti ada kisah yang tersendiri, keperitan, kepayahan serta cabaran yang hebat sebelum mampu bergelar usahawan yang berjaya....cuma jangan cepat lupa diri....



Jumaat, 8 Ogos 2008

Ladang Satelit 1 - Kg Beluru, Kuala Kangsar, Perak





Semangat yang cekal dan usaha yang berterusan menjadi pegangan untuk berjaya dalam bidang pertanian ini. Inilah yang boleh diceritakan tentang usaha En Nazri dan En Mie setelah berjaya membuka ladang cili fertigasi pertama di Kg Beluru, Kuala Kangsar sebanyak 3000 beg.

Usaha Nia Agrotech memberi tunjuk ajar dan sedikit panduan serta dorongan telah membuahkan hasil yang baik apabila diberitahu pokok yang umurnya masih sebulan, telah pun ditempah hasilnya oleh pihak yang ingin memasarkannya.

Minat untuk membuka ladang cili ini mula dinyatakan kepada pihak kami sejak awal 2008 lagi namun pelbagai halangan terpaksa ditempuhi oleh En Nazri dan Mie ini yang berkaitan dengan pemilihan tapak yang sesuai, saiz yang sesuai, modal dan pinjaman. Namun usaha yang tak pernah berhenti untuk mencari jalan penyelesaian telah membantu usahawan muda ini untuk terus membuka ladang cili di atas tanah milik keluarga en Mie di Kampung Beluru, Kuala Kangsar.

Peranan Nia Agrotech dalam menjayakan ladang ini termasuk pembekalan barangan fertigasi, pemasangan dan khidmat nasihat yang berterusan sehinggalah ladang ini betul-betul mampu berdiri dengan sendiri. Proses pemasangan dan penanaman dimulakan dengan aktiviti meratakan tanah, memasukkan cocopeat ke dalam polybeg serta memasang silvershine di atas tapak projek yang dilakukan sendiri oleh usahawan ini dengan bantuan pekerja mereka. Pada masa yang sesuai, team Nia Agrotech seramai empat orang turun ke tapak projek selama 3 hari berturut-turut untuk memasang sistem dan menyusun sebanyak 3000 beg. Aktiviti semaian dilakukan sendiri oleh usahawan terlibat dan dijangka ladang ini akan mula mengeluarkan hasil pada pertengahan bulan Oktober 2008 dengan pengeluaran melebihi 6 tan semusim.


Dalam Perbincangan terkini dengan En Nazri, Ladang ini telah menarik perhatian pihak Pertubuhan Peladang Kawasan dan Yayasan Tekun Nasional Perak untuk memberi pinjaman modal kepada mereka. di Samping itu, pihak FAMA dan pemborong tempatan pula sudah mula menunjukkan minat untuk menjadi pemborong kepada hasil yang bakal dikeluarkan nanti. Persoalannya nanti, mampukah ladang ini memenuhi permintaan semasa....ini hanya akan terjawab bila usahawan ini mula mengutip hasil tuaian mereka nanti. Tahniah diucapkan kepada En Nazri dan En Mie atas pwmbukaan ladang baru ini.

untuk maklumat lanjut mengenai projek ini, adalah baik sekiranya dapat menghubungi sendiri pengusaha yang terlibat...terutamanya pengusaha-pengusaha di sekitar perak utara...
En NAzri - 014-3800888 dan En Mie - 012-6304862

Selamat..............


Selasa, 8 Julai 2008

WORD OF WISDOM

PERNIAGAAN PERTANIAN UMPAMA LALUAN AIR MEMASUKI SEBUAH LABU AIR, ADA MASA SEMPIT DAN ADA MASA LUAS.....

SEKALI MENEBANG POKOK, MATA PARANG JANGAN BERPATAH BALIK..

Rabu, 11 Jun 2008

HARGA MINYAK NAIK...KESAN DAN PENYELESAIAN?!!

Dah lama aku tak menulis..sibuk sikit sekarang nie, banyak yang perlu dilakukan dalam situasi harga barangan yang tidak menentu sekarang nie.

Ramai tertanya apakah kesan kepada pertanian fertigasi berikutan dengan kenaikan harga minyak. Semasa pengumuman kenaikan harga minyak dilaporkan, saya berada di Kampung Layang-layang Kiri, Parit serta dalam perjalanan ke Kuala Kangsar untuk melihat tapak sahabat saya di sana. Masa tu stesen minyak di kawasan ini masih belum lagi dipenuhi dengan kereta dan lori yang berebut untuk mengisi minyak. dalam fikiran saya, apalah sangat kesannya dengan kenaikan kali ini dan sehingga saat itu, tak terlintas langsung masalah-masalah yang bakal timbul kesan daripada isu ini. Namun, sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur pada keesokkan harinya, masalah mula timbul...

1. Kos Perjalanan dan pengangkutan meningkat hampir satu kali ganda.
Sebelum ini, perjalanan menggunakan 4WD ke Cameron Highlands hanya menelan kos RM80.00 untuk perjalanan pergi-balik tapi sekarang menelan belanja hampir RM200.00 untuk dua hala. Kalau dulu saya mampu naik dan membeli barang keperluan pertanian di sana tapi memandangkan kos yang meningkat ini, terpaksa fikir dua kali dan terpaksa mengkaji imbangan kos barangan dan perjalanan untuk menjadikan ia berbaloi.Kalau setakat naik atas untuk beli barangan yang besar-besar, terpaksalah lupakan dulu. Lebih baik tunggu sehingga betul-betul saya perlukan dalam kuantiti yang banyak barulah sewa lori untuk naik ke atas.
Sewa lori pun semakin meningkat hampir sekali ganda dan ini menyebabkan harga barangan berkaitan fertigasi terus meningkat. Yang menjadi mangsa adalah pengusaha ladang fertigasi atau pun yang baru mahu memulakan perniagaan ini. Kalau dulu kita memerlukan hampir RM40,000 untuk setting 1 ekar tapi sekarang kosnya meningkat hampir RM70,000 untuk seekar.

2. Harga barangan / bekalan input meningkat secara mendadak.
Kadangkala, ada kedai atau pembekal yang mampu menjual harga barangan/bekalan input dengan harga yang lama, kalau naik pun terlalu sedikit tetapi masalah yang timbul adalah kos pengangkutan yang menyebabkan harga secara amnya meningkat. ini disebabkan pembekal pukal barangan fertigasi ini berselerak di seluruh negara dan sebagai pembekal terus kepada pengguna, saya terpaksa mengambil kira kos pengangkutan yang terlibat sekiranya site atau ladang-ladang baru ini berada jauh dari pusat jualan saya.

3. Harga baja meningkat lagi..
Kalau hari itu saya telah menjelaskan tentang kenaikan harga baja, sekarang harga baja itu terus meningkat lagi. Pembekal seperti Fertitrade, Mayhosch atau pun pembekla baja dari negara China yang ada di Malaysia ini terus meningkatkan harga disebabkan kos pengangkutan, supply yang berkurang dan demand yang tinggi. Pernah terfikir, adakah saya perlu kembali kepada pertanian secara konvensional kerana peningkatan harga baja ini?...Namun buat masa sekarang, memandang keadaan kewangan yang masih mengizinkan, saya teruskan juga pertanian fertigasi ini tetapi persediaan untuk menukar kepada pertanian konvensional atau bentuk pertanian yang lain sedang giat dijalankan.


Penyelesaian...

1. Merancang barangan keperluan/bekalan input pertanian dengan lebih teliti. Maksudnya, sekiranya kita mahu membuka ladang baru menggunakan sistem fertigasi, rancang dulu bilangan barangan yang perlu dan kos termasuk kos perjalanan kemudian beli secara pukal. Jangan mencuba-cuba atau belian secara ansur-ansur sebab harga barangan ini sentiasa naik setiap 2-3 minggu. Peningkatan harga seperti ini akan menambahkan kos awalan serta menjejaskan rancangan untuk membuka ladang fertigasi. Takut nanti, barangan dah cukup tapi terpaksa tutup sebab tak mampu menanggung kos 'overhead' yang banyak...rugi la....

2. Cuba memanfaatkan sepenuhnya tanah-tanah pertanian yang menggunakan sistem fertigasi. Dalam erti kata lain, guna semaksima yang mungkin setiap inci tanah ini dengan kegiatan pertanian yang lain dengan kos yang lebih rendah. Ini yang sedang saya lakukan, saya ada menyewa seekar tanah di sungai buloh nie namum disebabkan keadaan muka bumi yang berbukit serta terdapat kolam ikan yang dikorek, saya tak mampu memaksimun pernanaman secara fertigasi. Lantas sekarang, saya merancangkan untuk menggunakan kolam tersebut sebagai tempat penternakan ikan keli, sebahagiannya sebagai pondok cendawan dan di sekitarnya akan di tanam dengan pokok limau kasturi dan limau nipis agar kebergantungan saya terhadap hasil jualan cili untuk menampung kos dapat dikurangkan malah dapat dihapuskan sama sekali.

Sehingga berjumpa lagi...

Rabu, 2 April 2008

Bahan untuk membina RPH berukuran 100' x 60'

i would to share with all of you the material in constructing RPH (Rumah Pelindung Tanaman)

Untuk keluasan 100' x 60' (3 buah RPH), kita memerlukan bahan-bahan seperti berikut:-
item saiz kuantiti nota

1. Tiang 2'x2'x14' 44 batang
2. Kepala tiang 2'x2' 44 unit
3. Besi Lintang 2'x2'x20' 33 batang
4. G.I Paip penyambung 1 1/2 x 2' 22 batang
5. Palung/Gutter 1.5mm x 20' 36 batang
6. End Cap 4 batang
7. skru Palung 216 batang
8. Penyokong Tiang 1 1/2 x 4' 176 batang
9. 'U' pin klip 150 unit
10. Konduit Lengkung 1/2 x 24' 75 batang
11. Konduit Bumbung 1/2 x 24' 15 batang
12. join konduit bumbung 1/2' 15 unit
13. Spring klip 225 unit
14. Penyokong konduit bumbung 4' 33 batang
15. bolt aluminium 'U' 33 unit
16. silikon (gam) 2 tiub
17. Plastik UV 24' x 180' 2 gulung
18. tiub polypipe 20mm 1 gulung
19. klip hitam 60 unit
20. holder tali hitam 3 gulung
21. bolt dan nat 264 unit
22. PVC 4' 4 batang

Harga untuk setiap komponen ini bergantung kepada keadaan semasa...cuma yang pasti harga besi sentiasa meningkat almost 30% - 50% sejak saya membeli barang-barang ini pada Jun 2007. Untuk dapatkan harga semasa atau yang terkini bergantung pada masa pembinaan nanti.
Tapi perbandingan harga pada Jun 2007, RM5.00 - RM5.50 kaki persegi, but harga pada awal Mac 2008 telah naik sampai RM 6.00 - RM6.50 kaki persegi. Meaning that untuk membina 3 buah RPH berkeluasan 100'x60' menalan belanja hampir RM36,000 - RM39,000 sahaja...kalau modal lebih , then ok because banyak kelebihannya jugak tapi kalau sekadar yang ada, cukuplah dengan sisitem semi-fertigasi sahaja cuma keadaan cuaca yang tidak menetu ini membuatkan kita terfikir banyak kali kalau buat secara open fertigasi...
ada jugak di kalangan peladang yang kreatif dan berusaha mengurangkan belanja pembinaan RPH ini ke tahap yang lebih rendah, tahniah diucapkan kepada yang berjaya tetapi bergantung kepada kreativiti dan tahap kegunaan RPH tersebut. Kalau sekadar untuk cili, sekadar bumbung mungkin tidak menjadi masalah tetapi sekiranya berminat untuk menanam tomato, rock melon dan tomato cherry, struktur pembinaan rumah mesti mengambil kira ketahanan dan kekuatan untuk menampung beban pokok dan buahnya nanti...
harap artikel ini dapat memberi sedikit gambaran tentang RPH, saya akan cuba memasukkan gambar-gambar komponen RPH dalam blog ini nanti...insyaallah!

Isnin, 31 Mac 2008

Harga Baja Meningkat!!!....

Harga baja meningkat dengan banyaknya..!!

Dalam usaha kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian negara, mungkin kita tersalah pandang tentang masalah besar yang sedang dihadapi oleh para peladang...harga baja! Pada masa negara sedang ghairah menyambut hari lebaran yang lalu, masalah harga ayam di pasar yang meningkat menjadi perhatian, alasan yang diberikan oleh para penternak ayam adalah harga makanan yang semakin mahal dan meningkat dengan banyaknya. Sebagai pengguna, kita menganggap isu ini hanyalah satu alasan para peniaga untuk menaikkan harga barang namun apabila menjelang tahun baru ini, perkara yang sama terjadi dalam sektor pertanian terutamanya penanam sayur-sayuran. Peningkatan harga baja yang melampau telah membuatkan para peladang yang masih baru belajar ini merasa beban yang berat. Perkara ini memberi gambaran seolah-olah sektor pertanian ini tidak mampu menjadi satu bidang yang berdaya maju. Kenapa perkara ini terjadi? Monopoli Pasaran, Harga bahan mentah yang mahal, kos import atau duti import yang tinggi, tiada kawalan....kita cuba huraikan kekusutan ini...

Perbandingan harga baja:- (komponen baja Fertigasi)

harga bagi bulan Jun 2007 - bulan Mac 2008
Kalsium Nitrat RM50.00 - RM55.00
KNo3 RM60.00 - RM120.00
MKP RM155.00 - RM225.00
Mn (EDTA) RM35.00 - RM44.00
Hi-bor RM10.00 - RM14.00
Zn (EDTA) RM35.00 - RM44.00
Fe-Lo (EDTA) RM35.00 - RM 44.00
Cu (EDTA) RM35.00 - RM44.00
Amm. Moly. RM145.00 - RM 225.00






Faktor:
  • Monopoli Pasaran di malaysia.
Hanya sebuah syarikat pengedar sahaja yang menguasai pasaran pembekalan baja fertigasi di Malaysia sejak dari dahulu lagi menyebabkan harga pasaran dapat dikawal dengan sewenang-wenangnya. Walaupun terdapat syarikat-syarikat lain cuba menembusi pasaran baja fertigasi di malaysia ini namun kestabilan dan penguasaan pasaran syarikat tersebut telah menyebabkan syarikat kecil ini gagal bersaing. Alasan harga bahan dan import yang tinggi tidak dapat diterima sebab bahan mentah untuk pemprosesan baja ini masih banyak di dapati daripada negara-negara pengeluar dan semestinya bukan seperti minyak yang sentiasa diperlukan oleh semua orang.
  • Tiada kawalan harga baja.
Kerajaan mengawal harga siling bahan-bahan tertentu di pasaran namun persoalannya, kenapa tidak mengkaji faktor sebenar berlakunya peningkatan harga di pasaran? Kalau satu atau dua syarikat/peniaga sahaja yang menaikkan harga barang, mesti ada sesuatu yang tidak kena tapi sekiranya semua orang terpaksa menaikkan harga pasaran, mesti ada sebab yang lebih munasabah. Jika dilihat dalam isu peningkatan harga ayam ketika musim perayaan, alasan yang diberikan adalah kos bekalan makanan yang tinggi...jadi kenapa kerajaan tidak bertindak bijak untuk mengawal harga makanan ayam ini agar masih mampu dibeli dengan harga yang rendah. Tapi apa yang dilakukan oleh agensi-agensi tertentu ini adalah dengan mengawal harga ayam di pasar-pasar borong dan peruncit...naya la orang yang menternak ayam tu! Perkara yang sama akan terjadi dalam sektor peladangan sayur-sayuran ini....sekiranya harga baja terus meningkat tanpa sebarang kawalan, saya pasti harga kos pengeluaran juga akan meningkat dan harga akan terus meningkat...takkan pengguna sanggup membeli sekilo cili merah dengan harga RM25-30/kg atau harga sayur RM5.00/kg...akhirnya, peladang ini gulung tikar dan negara kita akan terus bergantung kepada sayur-sayuran yanng diimport dari luar...maka tidak tercapailah hasrat kerajaan untuk melenyapkan kebergantungan kepada sayur-sayuran yang diimport..
  • Peladang semakin bertambah.
Peningkatan bilangan peladang terutamanya di kalangan bumiputera di tanah rendah. Sebelum ini, peladangan sayur-sayuran lebih tertumpu di kawasan Cameron Highlands jadi pengimport baja serta bahan-bahan pertanian lebih tertumpu kepada pasaran di tanah tinggi. Tetapi, pada masa sekarang selepas kerajaan menggalakkan sektor pertanian dengan pengenalan sistem fertigasi, semakin ramai peladang di kalangan bumiputera menceburi diri dalam bidang ini lantas membuatkan permintaan terhadap bahan-bahan ini meningkat dengan banyaknya. Di kesempatan ini, para pengimport dan peniaga bahan-bahan pertanian cuba untuk menaikkan harga pasaran dan meluaskan pasaran mereka di kawasan tanah rendah. Kos pengangkutan dapat dijimatkan dan kebanyakkan peladang bumiputera yang baru ini banyak menjalankan urusniaga dalam bentuk tunai serta akur dengan harga yang diletakkan. Perkara ini diakui sendiri oleh pengedar 'cocopeat'. Menurutnya, jika dulu permintaan terhadap cocopeat hanyalah di Cameron highlands dan para pengedar in pula terpaksa akur dengan harga yang diletakkan oleh peladang di sana namun sekarang keuntungan yang berlipatkaliganda boleh didapati sekiranya berurusan dengan peladang di tanah rendah, kos pengangkutan dan servis kenderaan yang kurang serta barang mudah didapati. Masalahnya, peningkatan peladang bumiputera ini tidak dirasai oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyebabkan nasib mereka tidak dibela...kami, pihak peladang bukannya terlalu mengharapkan subsidi kerajaan tapi cukuplah sekiranya kerajaan memberi peluang kepada peladang 'baru' ini bersaing dengan peladang-peladang 'senior' yang telah menceburkan diri dalam sektor ini sejak 20 tahun lepas.

Langkah/Cadangan penyelesaian:-
  • Kawalan harga terhadap input pertanian seperti baja dan bahan-bahan yang terlibat. Jangan biarkan bidang ini dimonopoli oleh satu pihak sahaja malah buka peluang kepada orang lain untuk terlibat dalam sektor pembekalan input pertanian terutamanya kedai-kedai yang diwujudkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan.
  • Beri keutamaan kepada kedai-kedai Pertubuhan Peladang Kawasan dari segi subsidi harga baja, walaupun tidak secara keseluruhan, cukuplah sekadar kedai-kedai ini mampu berniaga dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran runcit. At least, kedai-kedai ini tidak terlalu mengutamakan keuntungan disebabkan ia juga salah satu agensi kerajaan serta mampu memberi peluang kepada para peladang untuk mendapatkan harga yang lebih murah.


Sabtu, 2 Februari 2008

Petani Moden: Realiti dan Cabaran

Pertanian adalah Perniagaan...laungan yang sering kita dengar sejajar dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan bilangan usahawan tani di kalangan bumiputra dan mengurangkan kebergantungan import bahan pertanian dari luar negara. kita lihat pada masa kini semakin ramai, orang melayu menceburi bidang ini apatah lagi dengan teknologi terkini yang meminimakan kerja-kerja ladang tetapi dapat menghasilkan produktiviti yang tinggi.
Namun hakikatnya, menjadi seorang petani moden bukanlah jalan terakhir untuk semua orang. Realiti dan cabaran yang hebat perlu ditempuh sebelum dapat bergelar usahawan tani yang berjaya. Bidang pertanian bukanlah satu bidang jangka masa pendek dan mudah seperti yang kita lihat. Tetapi memerlukan kesabaran, keazaman dan daya usaha yang tinggi untuk mencapai apa yang kita impikan. Ramai di kalangan kita mempunyai tanggapan bahawa melalui bidang pertanian terutama sekali menggunakan sistem fertigasi ini akan dapat menjana pendapatan yang berlipat kali ganda dalam masa yang singkat. Kita pernah dengar melalui media massa bahawa petani fertigasi ini berpendapatan hampir RM30,000 - RM40,000 semusim melampaui pendapatan seorang pengurus atau pengarah dalam bidang perkerjaan awam dan swasta. Tetapi realitinya, untuk mencapai pendapatan sebanyak itu mermerlukan usaha yang setimpal, pengorbanan masa dan komitmen yang tidak berbelah bagi serta wang ringgit yang banyak. Contohnya, untuk menjana RM30,000 - RM40,000 pendapatan per musim, kita memerlukan bilangan tanaman/beg hampir 3000 beg (untuk cili). Melalui anggaran kasar, setiap pokok mengeluarkan hasil sebanyak 4kg semusim dan harga pasaran secara purata RM3.00, jadi kita mampu mendapat pendapatan hampir RM36,000.00 (gross profit). Setelah ditolak perbelanjaan gaji pekerja, kos baja, racun dan pengurusan, hampir 30% daripada pendapatan kasar ini, nilai keuntungan mencecah hampir RM12,000, tinggallah RM 24,000. Tetapi ini hanyalah anggaran yang dapat dibuat dalam kertas kerja namun realitinya, untuk menghasilkan 4kg sepokok/semusim, bukanlah satu perkara yang mudah. Faktor cuaca, pengalaman ,serangga perosak, pemilihan benih yang terbaik serta harga pasaran yangsentiasa naik-turun juga perlu diambil kira dalam perkara ini. kita mampu mengganggarkan hampir 20% hasil tak menjadi tetapi kita tidak tahu sejauhmanakah anggaran ini tepat sebab bergantung kepada faktor diri kita sendiri dalam mengendalikan sesuatu ladang pertanian. Inilah cabaran yang pertama perlu dihadapi oleh semua petani moden dan sekiranya cabaran ini dapat ditempuhi dengan cekal dan berkesan, insyaallah, kita mampu menjana pendapatan yang berlipat kali ganda.
Pertanian memerlukan daya tahan dan motivasi diri yang tinggi untuk berjaya. Haji 'T'(Jamaluddin), seorang usahawan tani yang telah pun berjaya di Cameron Highlands dalam satu kursus fertigasi di Lojing, Gua Musang memberi bayangan bahawa dalam perniagaan berasaskan tani nie, ia seperti sebiji 'labu sayung'. Pada peringkat awal, laluan masuk ke dalam labu nie amat sempit dan sukar, namun selepas satu tahap, kita akan menemui ruang yang agak luas. Tetapi selepas itu, kita akan melalui pulak satu ruangan yang sempit sebelum berjaya meloloskan diri ke ruangan yang lebih luas. Maksudnya, pada peringkat permulaan sesuatu perniagaan itu, kita akan menempuhi pelbagai halangan, dalam aspek ini, kita akan berdepan dengan masalah modal, pengurusan, tanah pertanian, kerenah dan aksi orang ramai dan lain-lain lagi. Tetapi selepas kita berjaya menempuhi halangan ini, kita akan menikmati suasana yang agak senang iaitu, kita mula mengecapi hasil pertanian, penjualan yang baik, suasana kerja yang kurang membebankan, terbuka pelbagai bidang lagi yang memberi pendapatan lumayan serta kita mampu tersenyum dengan apa yang kita usahakan. Malangnya, sekiranya kita tak berhati-hati dan beringat bahawa ada lagi satu laluan sempit di hadapan, pasti kita akan kecundang dan tak mampu lagi mengecapi nikmat dan kesenangan yang sebenarnya. Semua ini memakan masa yang panjang, lantas daya keyakinan diri, kesabaran dan komitmen kita akan sentiasa diuji. Justeru itu, sebagai seorang petani dan ahli perniagaan, daya motivasi diri kita perlu sentiasa tinggi agar kita mampu mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran mendatang. Bagi aku, tempat yang paling sesuai untuk menaikkan semangat semula adalah dengan mengunjungi Cameron Highlands. Di sana kita akan rasa kerdil dengan kemajuan dan kemampuan pekebun di sana dan membuatkan aku untuk berusaha lebih gigih memajukan ladang yang ada. Jadi, janganlah berputus asa sekiranya apa yang kita usahakan kurang sempurna, cuba lagi sehingga kita betul-betul berjaya. Biarlah aku tanam sepuluh musim pun, kalau jadi cantik dalam 4-5 musim pun, aku sudah bersyukur kerana ia mampu 'cover' balik apa yang telah aku laburkan.
Secara asasnya, sebaik saja kita menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian ini, niat dan komitmen yang betul akan dapat membawa kita ke arah kehidupan yang lebih bermakna.