Pertanian adalah Perniagaan...laungan yang sering kita dengar sejajar dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan bilangan usahawan tani di kalangan bumiputra dan mengurangkan kebergantungan import bahan pertanian dari luar negara. kita lihat pada masa kini semakin ramai, orang melayu menceburi bidang ini apatah lagi dengan teknologi terkini yang meminimakan kerja-kerja ladang tetapi dapat menghasilkan produktiviti yang tinggi.
Namun hakikatnya, menjadi seorang petani moden bukanlah jalan terakhir untuk semua orang. Realiti dan cabaran yang hebat perlu ditempuh sebelum dapat bergelar usahawan tani yang berjaya. Bidang pertanian bukanlah satu bidang jangka masa pendek dan mudah seperti yang kita lihat. Tetapi memerlukan kesabaran, keazaman dan daya usaha yang tinggi untuk mencapai apa yang kita impikan. Ramai di kalangan kita mempunyai tanggapan bahawa melalui bidang pertanian terutama sekali menggunakan sistem fertigasi ini akan dapat menjana pendapatan yang berlipat kali ganda dalam masa yang singkat. Kita pernah dengar melalui media massa bahawa petani fertigasi ini berpendapatan hampir RM30,000 - RM40,000 semusim melampaui pendapatan seorang pengurus atau pengarah dalam bidang perkerjaan awam dan swasta. Tetapi realitinya, untuk mencapai pendapatan sebanyak itu mermerlukan usaha yang setimpal, pengorbanan masa dan komitmen yang tidak berbelah bagi serta wang ringgit yang banyak. Contohnya, untuk menjana RM30,000 - RM40,000 pendapatan per musim, kita memerlukan bilangan tanaman/beg hampir 3000 beg (untuk cili). Melalui anggaran kasar, setiap pokok mengeluarkan hasil sebanyak 4kg semusim dan harga pasaran secara purata RM3.00, jadi kita mampu mendapat pendapatan hampir RM36,000.00 (gross profit). Setelah ditolak perbelanjaan gaji pekerja, kos baja, racun dan pengurusan, hampir 30% daripada pendapatan kasar ini, nilai keuntungan mencecah hampir RM12,000, tinggallah RM 24,000. Tetapi ini hanyalah anggaran yang dapat dibuat dalam kertas kerja namun realitinya, untuk menghasilkan 4kg sepokok/semusim, bukanlah satu perkara yang mudah. Faktor cuaca, pengalaman ,serangga perosak, pemilihan benih yang terbaik serta harga pasaran yangsentiasa naik-turun juga perlu diambil kira dalam perkara ini. kita mampu mengganggarkan hampir 20% hasil tak menjadi tetapi kita tidak tahu sejauhmanakah anggaran ini tepat sebab bergantung kepada faktor diri kita sendiri dalam mengendalikan sesuatu ladang pertanian. Inilah cabaran yang pertama perlu dihadapi oleh semua petani moden dan sekiranya cabaran ini dapat ditempuhi dengan cekal dan berkesan, insyaallah, kita mampu menjana pendapatan yang berlipat kali ganda.
Pertanian memerlukan daya tahan dan motivasi diri yang tinggi untuk berjaya. Haji 'T'(Jamaluddin), seorang usahawan tani yang telah pun berjaya di Cameron Highlands dalam satu kursus fertigasi di Lojing, Gua Musang memberi bayangan bahawa dalam perniagaan berasaskan tani nie, ia seperti sebiji 'labu sayung'. Pada peringkat awal, laluan masuk ke dalam labu nie amat sempit dan sukar, namun selepas satu tahap, kita akan menemui ruang yang agak luas. Tetapi selepas itu, kita akan melalui pulak satu ruangan yang sempit sebelum berjaya meloloskan diri ke ruangan yang lebih luas. Maksudnya, pada peringkat permulaan sesuatu perniagaan itu, kita akan menempuhi pelbagai halangan, dalam aspek ini, kita akan berdepan dengan masalah modal, pengurusan, tanah pertanian, kerenah dan aksi orang ramai dan lain-lain lagi. Tetapi selepas kita berjaya menempuhi halangan ini, kita akan menikmati suasana yang agak senang iaitu, kita mula mengecapi hasil pertanian, penjualan yang baik, suasana kerja yang kurang membebankan, terbuka pelbagai bidang lagi yang memberi pendapatan lumayan serta kita mampu tersenyum dengan apa yang kita usahakan. Malangnya, sekiranya kita tak berhati-hati dan beringat bahawa ada lagi satu laluan sempit di hadapan, pasti kita akan kecundang dan tak mampu lagi mengecapi nikmat dan kesenangan yang sebenarnya. Semua ini memakan masa yang panjang, lantas daya keyakinan diri, kesabaran dan komitmen kita akan sentiasa diuji. Justeru itu, sebagai seorang petani dan ahli perniagaan, daya motivasi diri kita perlu sentiasa tinggi agar kita mampu mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran mendatang. Bagi aku, tempat yang paling sesuai untuk menaikkan semangat semula adalah dengan mengunjungi Cameron Highlands. Di sana kita akan rasa kerdil dengan kemajuan dan kemampuan pekebun di sana dan membuatkan aku untuk berusaha lebih gigih memajukan ladang yang ada. Jadi, janganlah berputus asa sekiranya apa yang kita usahakan kurang sempurna, cuba lagi sehingga kita betul-betul berjaya. Biarlah aku tanam sepuluh musim pun, kalau jadi cantik dalam 4-5 musim pun, aku sudah bersyukur kerana ia mampu 'cover' balik apa yang telah aku laburkan.
Secara asasnya, sebaik saja kita menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian ini, niat dan komitmen yang betul akan dapat membawa kita ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan