Khamis, 2 Februari 2012

NIA AGROTECH MELANGKAH KE SABAH@PART 2

Dengan kerjasama erat antara Nia Agrotech dan eVa Groups Sdn Bhd, syarikat telah melangkahkan kakinya ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu untuk mewujudkan sebuah kawasan malah berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang berasaskan pertanian moden iaitu fertigasi. 

Persoalan yang timbul adalah kenapa saya memilih Sabah sebagai pusat untuk mengembangkan industri pertanian moden ini. Jika di kaji mengenai bentuk muka bumi, jenis tanaman dan peluang perniagaan, Sabah adalah tempat yang terbaik untuk mengembangkan teknologi ini.

Ini berdasarkan kepada kawasan tanah pertanian yang luas di sekitar negeri Sabah yang masih belum diusahakan serta amat berpotensi untuk dimajukan dengan pertanian moden ini. Di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang sahaja pun, kita dapat lihat tanah-tanah kosong yang mempunyai kemudahan sumber air seperti sungai yang boleh dimajukan. Hanya isunya di sini adalah bagaimana untuk menyedarkan pemilik-pemilik tanah tentang potensi yang ada di tanah-tanah mereka melalui sistem pertanian moden. Tanah-tanah sawah yang tidak diusahakan amat berpotensi untuk disewa atau pajak daripada pemilik tanah yang kebanyakkan membiarkan tanah-tanah ini kosong tanpa sebarang projek pertanian.

Faktor kedua adalah peluang perniagaan dalam bidang pengeluaran hasil makanan/tani. Tidak dinafikan, di Sabah, terdapat banyak tamu-tamu yang menjual hasil pertanian dan perikanan yang terdapat di sekitar negeri. Namun masalah yang telah saya bincangkan sebelum ini adalah bekalan hasil yang berterusan (constant supply) iaitu terdapat masa-masa tertentu di negeri ini yang terputus bekalan sayuran khususnya seperti tomato, timun jepun, terung dan sebagainya. Malah yang lebih menarik, tidak ada pengeluaran buah 'Rock Melon' di Sabah, dan kebanyakan yang ada di pasaran adalah buah yang diimport dari Australia. Ini dilihat sebagai satu peluang yang amat besar untuk saya memasuki ruang pasaran tempatan dengan memastikan bahawa bekalan sayuran ini sentiasa ada di pasaran serta mengeluarkan buah rock melon dengan jenama tempatan. Selain itu, peluang untuk mengeksport hasil pertanian ini juga terbuka luas.

Ketiga adalah kesedaran petani atau peladang tempatan tentang peripentingnya teknologi pertanian moden ini dalam memastikan hasil keluaran ladang mereka dapat memenuhi gred atau kualiti yang baik di pasaran. Sedia maklum, cuaca di Sabah ini agak berbeza dengan Semenanjung Malaysia berdasarkan taburan hujan yang mengikut musim. Faktor cuaca ini mempengaruhi hasil pengeluaran ladang tempatan. Dengan memperkenalkan sistem fertigasi dan Rumah Pelindung Hujan dan yang lebih menarik, 'Tanaman tergantung / Hanging Garden', akan dapat membantu para peladang meningkatkan hasil pengeluaran mereka tanpa perlu melihat kepada permasalahan cuaca. Justeru, saya dan rakan-rakan kongsi di sini mula mengadakan preview and kursus untuk memberi kesedaran serta mengajar teknik yang betul dalam sistem fertigasi kepada penduduk tempatan yang berminat. Respon yang dapat dilihat amat positif kerana pengusaha tempatan sentiasa mencari alternatif dan teknologi baru untuk memperbaiki hasil pengeluaran ladang-ladang mereka.

Saya amat-amat berharap agar suatu hari nanti akan wujud satu kawasan di Sabah yang dikenali sebagai 'ROCKMELON VALLEY @ RM VALLEY' yang merupakan satu idea syarikat untuk sekian lama.......