Sabtu, 10 November 2012

MUSIM HUJAN: ISU DAN PENJAGAAN ROCK MELON

Dalam keadaan cuaca yang kurang menentu, hujan berpanjangan dan kekurangan sinaran matahari, amat mempengaruhi kaedah tanaman dan penjagaan rock melon. Ramai yang cuba mengurangkan kos dengan melakukan penanaman rock melon secara terbuka, tanpa menggunakan Rumah Pelindung Hujan menerima impak yang amat besar dalam keadaan seperti ini. Bayangkan, dengan menggunakan RPH pun, masalah tumbesaran pokok dapat dilihat, apatah lagi tanpa RPH.

Isu yang selalu dikaitkan dengan musim hujan adalah dari aspek penjagaan pokok, pembajaan dan pengawalan serangga dan kulat. 

Rock melon memerlukan penjagaan yang agak rapi pada bulan yang pertama pertumbuhannya. Kerja-kerja seperti mengikat pokok / tree training, proses membuang sulur yang tidak diperlukan, memotong pucuk seawal 30 hari penanaman di dalam polibeg serta proses pendebungaan. Dengan adanya RPH, kerja-kerja ini masih dapat dilakukan tanpa sebarang masalah dan bila-bila masa sahaja mengikut keluangan masa (bagi yang menjalankan projek separuh masa). Kita boleh memasang lampu di dalam RPH untuk menjalankan kerja-kerja ini. Di sinilah dapat dilihat kelebihan dengan adanya RPH. Berdasarkan pengalaman menanam dalam musim-musim hujan ini, saya bersyukur kerana dapat menyelesaikan sebahagian besar daripada kerja-kerja penjagaan rock melon. Kenyataan ini menjawab kepada persoalan tentang keperluan RPH dalam tanaman rock melon.

Isu pembajaan juga timbul di mana dalam keadaan hujan, baja tidak dapat disalurkan kepada tanaman dengan efektifnya. Saya mengambil satu fakta kes: Pokok memerlukan cahaya matahari untuk melakukan proses fotosintesis / membuat makanan. Dalam keadaan hujan, cahaya matahari kurang malah tiada langsung dan ini membantutkan proses pemakanan pokok. walaupun diberikan baja yang cukup, mengikut masa dan kandungan yang sesuai tetapi masih memberi impak negatif kepada pokok, proses penyerapannya yang agak perlahan dan singkat.Walaupun mempunyai RPH, kesan kurangnya cahaya matahari masih terasa. Bagaimana pula dengan keadaan projek penanaman tanpa RPH.? lebih menerima impak yang besar apabila baja yang disalurkan di'hilang'kan dengan air hujan. Kesannya, pokok masih segar tetapi kemanisan buah agak terjejas. Ini bukanlah artikel tentang kelebihan atau kekurangan RPH, tetapi lebih kepada pemerhatian umum tentang isu pembajaan dalam musim hujan.

Isu yang paling dirisaukan tentang penjagaan dan kawalan serangga dan kulat. Musim hujan mengundang seribu satu macam jenis kulat tetapi kurangnya serangga perosak. Keadaan yang lembap dan berair menyebabkan serangan kulat amat tinggi pada tanaman. Walau pun pelbagai jenis racun kulat, kimia atau organik digunakan namun risiko jangkitan kulat masih tinggi terutamanya rock melon yang ditanam secara 'open fertigation'. Penjagaan dalam RPH lebih mudah kerana kerja-kerja meracun masih boleh dijalankan, dan kelembapan boleh dikawal dengan lebih berkesan. Kebersihan dalam kawasan tanaman perlu diutamakan dan ini akan dapat mengelakkan tanaman daripada jangkitan kulat serta pembiakan serangga perosak.

Saya sekadar berkongsi pengalaman melalui pemerhatian dalam musim hujan.