Selasa, 8 Mei 2012

PERBANDINGAN ANTARA TIMUN DAN ROCK MELON...

Dalam catatan yang lalu, saya menyatakan bahawa satu perbandingan antara tanaman timun dan rock melon daei aspek kos pengeluaran, penjagaan dan pemasaran akan dilakukan berdasarkan pengalaman yang ditempuh oleh saya melalui musim-musim tanaman yang lepas. Maka di bawah akan dinyatakan serba sedikit fakta dan analisis yang telah saya buat.

Dengan membuat andaian bahawa bahan input seperti polibeg dan cocopeat tersedia sebanyak 3000 beg (6 buah RPH): 
Kos Pengeluaran:
  1. Kos Tetap:
    1. Sewa tanah   - RM500/sebulan   = RM1000/semusim
    2. Bil Air      - RM200/sebulan   = RM400/semusim
    3. Bil Elektrik - RM50.00/sebulan = RM100/semusim
    4. Gaji Pekerja - RM1000/sebulan  = RM2000/semusim
                                                                JUMLAH : RM3,500.00/MUSIM
  1. Timun: 
    1. Biji Benih     - RM400 untuk 6000 pokok (2 pokok/polibeg)
    2. Baja Fertigasi - RM1,500/musim (all-out/ baja setiap hari)
JUMLAH : RM1,900.00/MUSIM

  1. Rock Melon:
    1. Biji benih - RM1020.00 untuk 6000 pokok.
    2. Baja Fertigasi - RM1500.00 semusim
JUMLAH : RM2,520.00/MUSIM
Berdasarkan maklumat ini, kos pengeluaran untuk tanaman timun semusim (65 hari) adalah RM5,400.00/musim (anggaran pengeluaran 2kg semusim iaitu 12,000kg/musim) maka kos pengeluaran/kg adalah RM0.45/kg manakala kos pengeluaran rock melon semusim (65 hari) adalah RM6,020/musim (anggaran pengeluaran 1.5kg sepokok iaitu 9,000kg)maka kos pengeluaran/kg adalah RM1.50/kg.

Isu dan permasalahan:

Timun:
  • Harga yang tidak menentu. Dalam musim akhir yang lepas, harga timun memang tidak stabil dan amat dipengaruhi dengan lambakan di pasaran. Berdasarkan pengalaman yang lalu, harga timun jatuh sehingga RM0.40/kg menyebabkan saya mengalami kerugian dan terpaksa menghentikan tanaman agar kos pengeluaran tidak melampaui kos jualan serta mengurangkan kerugian yang ditanggung.
  • Variati. Terdapat banyak jenis atau variati benih timun di pasaran. Ada timun susu, timun hijau serta timun mini. Permilihan variati benih ini amat penting kerana akan mempengaruhi hasil jualan. Dalam Musim-musim yang lepas, saya menggunakan 3 jenis variati semata-mata mengikut kehendak pemborong, malangnya di luar pengetahuan saya, penentuan variati timun yang popular di pasaran adalah berdasarkan pada musim menuai. Ketika saya mengeluarkan timun susu, pasaran berkehendakkan timun hijau manakala dikala saya mengeluarkan timun hijau, pasaran mahukan timun susu. Pemborong pula agak kurang bertanggungjawab dengan apa yang mereka janjikan pada mula musim menanam menyebabkan harga yang diberikan kepada saya amat rendah, dengan alasan tidak boleh dijual disebabkan pelanggan mahukan jenis timun yang lain. 
Rock melon:

  • Penjagaan yang agak rapi terutamanya pada musim pendebungaan. Kegagalan untuk menjalankan proses pendebungaan dengan lengkap dan sempurna, menyebabkan buah yang dihasilkan tidak berkualiti dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pembeli.
 
Penyelesaiannya:
 
Timun:
  • Mendapatkan 'contract farming' dengan pembeli dan berbincang tentang harga serta jenis variati yang dikehendaki oleh pemborong. Jalan yang terbaik adalah dengan mengikat kontrak dengan FAMA atas faktor: 
    • Fama telah menetapkan harga siling untuk timun ialah RM0.65/kg sekiranya harga timun di pasaran jatuh dibawah harga tersebut.
    • Fama juga telah menetapkan jenis / variati timun yang dibeli oleh mereka, iaitu Lee Kat Seeds 747 atau Addison 7, jadi memudahkan para pengusaha untuk menanam jenis ini.
    • Kenudahan jualan dan pengangkutan disediakan kepada pengeluaran yang melebih 500kg. Kemudahan bakul dan lori ke ladang amat menguntungkan pengusaha ladang bagi mengurangkan kos penghantaran dan jualan.
Rock Melon:
  • Menumpukan perhatian yang lebih kepada proses pendebungaan dengan meneliti pokok-pokok yang masih balum didebungakan dan menjalankan proses tersebut secara manual.
  • Bantuan serangga seperti lebah amat diperlukan dan sekiranya mampu menyediakan koloni lebah di sekitar ladang, amat berbaloi. Ia dapat mengurangkan risiko pendebungaan yang tidak lengkap di samping dapat menambah pendapatan dengan jualan madu lebah.
  • Penggunaan 'Insect Netting' di sekitar RPH kadangkala menyumbang kepada permasalahan ini. Tujuan 'Netting' ini dipasang adalah untuk mengelakkan serangan serangga pada tanaman namun sepanjang pengalaman saya, penanaman rock melon tidak mempunyai banyak masalah dengan serangga perosak tetapi lebih kepada jangkitan kulat. Lantas cara yang terbaik, sekiranya ingin menggunakan 'insect netting', pendebungaan perlu dijalankan secara manual atau hanya menggunakan RPH sahaja tanpa 'insect netting'.