Selasa, 27 Disember 2011

SUATU MUSIM YANG MENGECEWAKAN....

Satu musim yang amat mengecewakan. 
Berdasarkan harga timun dan sayur-sayuran yang rendah di bawah paras kos pengeluaran, hasil jualan amat rendah dan merugikan. Saya mengambil langkah untuk mengubah tanaman daripada Rock Melon kepada timun atas dasar kos pengeluaran dan margin keuntungan yang agak tinggi. Di samping kos pengeluaran atau musim menuai yang singkat berbanding rock melon, Timun dilihat sebagai satu tanaman yang mampu membawa keuntungan yang besar kepada ladang-ladang kecil berdasarkan jumlah pengeluarannya yang tinggi. Namun, setelah mencuba sebanyak 3 musim, tanaman ini sebenarnya membawa lebih banyak masalah dalam aspek pemasaran dan penjagaan.

Penanaman Timun memerlukan kajian yang lebih mendalam tentang variati dan keperluan pasaran. Sepanjang 3 musim yang lalu, sebanyak 3 jenis variati timun telah ditanam dan yanbg menyedihkan ialah tidak pernah sekali pun dapat mengikut kehendak pasaran. (FYI:vVariati timun memang banyak di pasaran). Kali pertama, timun susu dari lee keat seed. Respon yang diterima bahawa variati timun ini kurang mendapat sambutan pengguna kerana bijinya yang agak besar dan cepat tua. Selain itu, pengguna lebih gemar membeli timun hijau berbanding dengan timun susu. Harga purata RM0.80/kg. Lantas, variati seterusnya adalah timun hijau. Respon yang diterima pula amat berbeza. Dikatakan timun variati ini agak keras, dan kurang mendapat sambutan pelanggan berdasarkan kulitnya yang berwarna hijau dan dilihat sebagai timun muda, susah nak jual. Harga purata RM1.00/kg. Memandangkan harga yang boleh tahan, maka saya mengikut nasihat rakan-rakan yang telah biasa dengan tanaman ini, untuk menukar kepada variati Timun Susu yang dikenali sebagai 'Timun Tangkak' sebab pengeluar benihnya dari Tangkak, Johor. Sekali lagi, masalah melanda apabila dikatakan terdapat lambakan timun di pasaran, menyebabkan variati timun ini tidak dapat dijual dan tidak mendapat sambutan di kalangan pengguna. Harga purata RM0.50/kg. Isunya disini, adakah benar bahawa para pelanggan atau pengguna dapat membezakan timun-timun ini mengikut variati yang tertentu yang menyebabkan mereka begitu memilih jenis timun yang dijual atau hanya alasan para pemborong tempatan untuk memberikan harga yang kurang munasabah kepada saya. Persoalan ini sentiasa bermain di fikiran kerana sekiranya timun-timun dijual secara terus kepada pengguna, saya masih boleh mendapat harga RM1.00/kg cuma masalahnya ialah saya tidak boleh menjual terus kepada pelanggan dalam kuantiti yang banyak dalam masa dua hari sedangkan pengeluaran timun di ladang mencecah 200kg dalam masa dua hari.

Aspek kedua adalah berkaitan dengan anggaran pengeluaran. Dikatakan kepada saya, sebatang pokok timun mampu menghasilkan 5 kg sepanjang musim selama dua bulan. Jadi mengikut anggaran saya, sekiranya saya menanam 6000 pokok, saya mampu mendapat hasil sehingga 30MT semusim dan dengan anggapan harga timun  stabil iaitu RM1.00/kg, saya mampu mendapat pendapatan kasar mencecah RM30,000 semusim. Kita mengambil pengiraan yang selamat iaitu dengan membuat anggaran bahawa sepokok timun hanya mengeluarkan 2kg semusim. Dengan kapasiti 6000 pokok, saya masih mampu mendapat 12MT semusim dan anggaran pendapatan mencecah RM12,000 semusim. Isunya, adakah benar sepokok timun mampu menghasilkan 5 kg sepokok/semusim atau hanya satu anggaran kasar para penanam tentang kemampuan pokok timun untuk mengeluarkan hasil. Selain itu, adakah sistem atau aspek penjagaan yang saya lakukan salah sehingga menyebabkan hasil pengeluaran untuk musim timun ini hanya mengeluarkan 2MT timun daripada 6000 pokok atau pun hanya mitos bahawa timun mampu mengeluarkan hasil yang banyak

Rasa tertekan dengan hasil pengeluaran dan harga jualan ini menyebabkan saya berfikir dan mengkaji semula kebaikan dan keburukan tanaman ini berbanding dengan tanaman rock melon. Seandainya saya mampu menarik balik kata-kata saya sebelum ini sama ada di dalam blog atau pun kepada para peserta kursus yang hadir, saya syorkan tanaman timun boleh ditanam tetapi perlu kajian yang lebih mendalam lagi tentang isu variati dan kos pengeluaran. Walaupun dari aspek penjagaan lebih mudah berbanding tanaman rock melon dan cili, tetapi adakah hasilnya berbaloi dengan kos pengeluaran.

Catatan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan sekiranya ada kesilapan dalam fakta, saya minta dikecualikan tetapi apa yang berlaku adalah apa yang ditanggung oleh pihak saya sekarang.