Saya ingin berkongsi serba sedikit pengetahuan saya tentang strategi pemasaran di pasar borong. Isu yang akan dibincangkan adalah penentuan harga pasaran sayuran secara harian di Pasar-pasar Borong.
Ramai yang tertanya-tanya bagaimana untuk mengetahui harga pasaran borong yang terkini setiap hari. Melalui perbincangan dan perkongsian maklumat bersama rakan-rakan yang terlibat dalam perniagaan di pasar borong, setiap hari harga setiap komoditi atau jenis sayuran berubah-ubah mengikut keadaan semasa di pasar borong. Boleh dikatakan seperti terlibat dalam pasaran saham lagaknya. Anggapan saya sebelum ini bahawa harga pasaran ditentukan pada awal pagi, seawal jam 3 pagi dan harga hanya akan dapat diketahui pada esok paginya. Ternyata anggapan saya salah selama ini.
Sebenarnya harga pasaran atau harga pasar borong ditentukan pada jam 3 - 4 petang untuk pusingan yang pertama dan pada jam 6.30 petang untuk pusingan yang kedua. Harga pasaran pada jam 6.30 petang ditentukan berdasarkan bekalan sayuran yang dapat dikumpul atau dapat dijual pada pusingan yang pertama. Maksudnya, bekalan sayur akan dihantar pada waktu petang ke pasar borong sekitar jam 3 atau 4 petang dan pemborong akan menentukan harga pasaran untuk hari tersebut. Sekiranya bekalan sayur tertentu berkurangan, maka akan dapat dilihat harga pada jam 6 petang nanti akan menjadi lebih tinggi.
Sekiranya kita menjual sayuran pada waktu pagi, maka harga borong yang semalam akan digunakan dan sekiranya jualan sayur, kita lakukan pada waktu petang, maka harga pasaran terkini akan digunapakai. Pengetahuan ini boleh digunapakai dalam merangka strategi jualan hasil ladang dan selalunya harga-harga ini amat jarang diperolehi secara online atau hanya meneliti harga rumusan yang dikeluarkan oleh pihak FAMA sahaja. Itu tidak cukup untuk menjadi sumber rujukan kita sekiranya jualan hasil ladang kita ini dijual di pasar-pasar borong.
Strateginya, adalah lebih baik sekiranya kita selalu mengunjungi pasar-pasar borong untuk mendapat maklumat dan pengetahuan bagaimana proses jualan dan penentuan harga ini ditentukan. Disamping itu, kita perlukan 'orang dalam', dalam erti kata lain, kita memerlukan maklumat secara terus daripada para pemborong yang ada di pasar borong tersebut untuk mendapat maklumat harga terkini.