Tanaman menggunakan sistem fertigasi mendapat tumpuan semula di kalangan para peladang atau sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Sistem ini pernah mencapai kemuncaknya pada tahun 2008-2009 namun pelbagai isu yang timbul menyebabkan para peladang cuba untuk mencari laternatif yang lain. Walaupun begitu, tumpuan kembali kepada sistem ini berdasarkan kemampuan dan kecekapannya dalan menghasilkan pengeluaran yang banyak dan berkualiti berbanding sistem konvensional yang lain. Isu utama bukannya sistem fertigasi tapi lebih tertumlou kepada aspek pengurusan ladang dan perniagaan. Terdapat selok belok perniagaan yang perlu diambil perhatian seperti isu pengurusan pekerja, ladang dan syarikat, dan bukannya dipersalahkan kepada sistem fertigasi.
Bila kita berbicara tentang prospek atau masa depan sistem ini, terdapat beberapa isu yang perlu dititikberatkan. Antaranya, bekalan bahan input pertanian, jenis tanaman yang nak diusahakan, pembajaan dan pasaran. Seringkali saya katakan, sistem fertigasi ini bukan semata-mata untuk tanaman cili dan rock melon, banyak lagi jenis tanaman yang boleh diusahakan melalui sistem ini. Tanggapan stereotaip ini kadangkala menjejaskan pandangan kita terhadap sistem fertigasi dan perniagaan pertanian.
Bekalan bahan input pertanian dalam sistem ini pada masa sekarang agak senang diperolehi dan harganya agak berpatutan. Jika dikenangkan kembali, di sekitar tahun 2006 - 2007 yang lalu, kesukaran untuk memperoleh bahan input terutamanya sistem pengairan dan baja amat ketara. Tiada jualan melalui internet dan penghantaran yang disediakan. Saya terpaksa berulang alik ke Cameron Highland, Seminggu sekali semata-mata untuk mendapatkan bahan input ini tetapi sekarang. dengan ledakan teknologi maklumat, semua bahan input pertanian boleh dilayari di halaman-halaman maya untuk mendapatkan maklumat dan pesanan. Walaupun begitu, perlu berhati-hati dengan tawaran yang diberikan kerana takut ada penipuan dan sebagainya. Yang paling penting, kita perlu tahu apa yang kita perlukan.
Jenis tanaman juga perlu diambil perhatian. Alihkan pemikiran kita dengan melihat sistem tanaman ini mampu menampung pelbagai jenis tanaman selain daripada cili dan rock melon. Bergantung kepada keadaan pasaran semasa serta sedikit penyelidikan pasaran sayur tempatan mampu memberi beberapa idea kepada kita tentang jenis dan varieti tanaman yang paling sesuai untuk kita usahakan. Diakui, harga cili di pasaran tempatan amat tinggi pada sesuatu masa sehingga mencecah tahap RM15/kg tetapi berapa ramai yang sedar bahawa harganya juga pernah jatuh menjunam sehingga RM1.50/kg. Begitu juga dengan rock melon yang sebelum ini mempunyai harga pasaran yang stabil di antara RM3.80/kg - RM4.50/kg, pernah jatuh sehingga RM3.00/kg - RM2.80/kg. begitu juga dengan harga timun, pernah mencapai tahap RM2.00/kg dan pernah jatuh sehingga RM0.30/kg. Ramai yang akan bertanya, macam mana nak tahu tentang harga pasaran/jualan ladang nie dan nak tahu waktu mana yang sesuai. Satu persoalan yang agak sukar dijawab oleh saya namun berbekalkan sedikit pengalaman, saya syorkan agar yang paling penting, kita perlu banyak berual dengan pemborong atau pun peniaga sayuran tempatan untuk melihat keperluan, kekurangan dan harga pasaran secara lebih telus serta bukan hanya melayari laman-laman web, untuk melihat senarai harga dan pasaran. Turun ke pasar-pasar tani, berbicara dengan penjual-penjual sayur untuk mengetahui maklumat yang lebih jelas.
Dari segi prospek tanaman dan sistem fertigasi, sistem ini akan terus berkembang dengan kemasukan elemen-elemen baru dalam negara kita namun asasnya takkan berubah. Tanaman yang menggunakan sistem ini, walaupun boleh dilakukan secara automatik sepenuhnya tetapi masih memerlukan sentuhan manusia. Petani masih perlu mempelajari teknik-teknik tanaman, penjagaan tanaman serta pembajaan agar kita akan mendapat hasil yang lebih lumayan. Jangan sekadar mempraktikkan sistem 3T, Tanam, Tuai dan Tebang...sedangkan dalam sistem 3T ini pun masih lagi memerlukan penjagaan dari manusia itu sendiri....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan