Khamis, 2 Disember 2010

FERTIGATION : DEFINITION AND APPLICATIONS

Fertigasi (fertigation)adalah gabungan daripada perkataan Pembajaan (Fertilizer) dan Pengairan (Irrigation). Daripada 2 perkataan ini sudah cukup membuktikan bahawa untuk mengetahui atau mendalami sistem ini, para pengusaha perlu terlebih dahulu memahami kepentingan sistem pembajaan dan pengairan yang dugunapakai dalam sistem fertigasi.

Sistem fertigasi adalah berbeza sekali dengan sistem konvensional (tanaman menggunakan tanah sebagai medium). Ini seringkali saya tekankan dalam kursus, bahawa sistem fertigasi ini diibaratkan seperti sistem 'feedlot' dalam aspek ternakan. Maknanya, dalam sistem ini, makanan/nutrient pokok dibekalkan kepada akar dan pokok secara langsung seperti menyuap bayi makan berbanding dengan sistem konvensional, iaitu pokok melalui akarnya mencari makanannya sendiri melalui penyerapan nutrient dalam tanah. Kelebihannya, kita dapat menentukan sendiri apa nutrient yang perlu diberikan kepada pokok tanpa mengambil kira nutrient-nutrient semulajadi yang ada dalam tanah dan ini dapat mengelakkan daripada pokok terbantut, gangguan nutrient kepada pokok dan faktor jenis tanah yang hendak digunakan.

Saya selalu membayangkan bahawa sistem penjagaan pokok melalui fertigasi ini adalah seperti menjaga bayi sehingga bayi ini matang. Ini adalah kerana sistem pembajaannya direkabentuk mengikut keperluan usia pokok melalui pengawalan kepekatan baja yang diberikan (EC) dan formula baja yang digunakan. Setiap jenis pokok mempunyai keperluan nutrient yang berbeza :- keperluan nutrient untuk cili berbeza dengan keperluan nutrient untuk Rock Melon serta timun dan ini memudahkan kita untuk menentukan formula mana yang boleh dipakai dan hasil yang kita hajati daripada jenis-jenis tanaman ini.

Setiap pengusaha perlu tahu tentang jenis baja, formula yang boleh digunakan mengikut keperluan jenis tanaman, cara campuran dan bancuhan, kepekatan (EC) yang sesuai mengikut umur tanaman serta kesan-kesan terhadap tanaman sekiranya penyaluran baja yang berlebihan atau kekurangan baja. Pengetahuan dalam pembajaan ini amat kritikal dan perlu agar kita dapat mengesan kekurangan nutrient, cara untuk memperbaiki dan mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dengan tanaman. Saya katakan sekiranya tanaman diberikan baja yang berlebihan pun akan menyebabkan tanaman menghadapi masalah kekurangan nutrient dan menjejaskan tanaman apatah lagi sekiranya tanaman yang diberikan nutrient yang kurang. Seperti manusia, sekiranya diberikan protein, karbohidrat atau gula yang berlebihan, kita juga akan mengalami masalah kesihatan seperti diabetes, obessiti dan pelbagai penyakit yang lain. Konsep yang sama digunapakai dalam sistem penjagaan tanaman dalam fertigasi ini. Maka adalah satu keperluan asas kepada para pengusaha untuk mengetahui tentang asas pembajaan fertigasi.

Begitu juga dengan aspek pengairan fertigasi. Para pengusaha perlu memahami bagaimana penyaluran nutrient disampaikan kepada tanaman, kadar nutrient kepada tanaman serta masalah-masalah yang timbul sekiranya kegagalan sistem pengairan kepada tanaman.

'Dripping System' atau pengairan titis digunakan untuk menyalurkan nutrient secara perlahan kepada akar tanaman agar akar dapat menyerap nutrient dengan kadar optimum. Seolah-olah kita menyuapkan nasi ke dalam mulut, kita tidak menyuap sekali gus agar kita dapat mengunyah dan menghadamkannya dahulu sebelum nasi bertukar menjadi nutrient dalam badan manusia. Sekiranya kita menyuapkan nasi secara sekaligus, sudah pasti kita tak mampu mengunyahnya dengan sempurna, termuntah atau sistem penghadaman kita akan terganggu. Konsep inilah yang diaplikasikan dalam sistem pengairan fertigasi. Biarlah pokok menikmati nutrient yang kita bekalkan dengan sempurna dan senang hati agar dia dapat memberikan hasil yang sempurna dan jangan memaksa tanaman ini dengan nutrient yang berlebihan agar kita tidak menanggung kerugian kos baja dan melakukan pembaziran.

Untuk mendapat sistem pengairan yang sempurna, terdapat banyak faktor-faktor yang mempengaruhi penyediaan sistem ini dan para pengusaha perlu faham peripentingnya sistem pengairan yang sempurna kerana ia berkaitan rapat dengan pertumbuhan sesuatu tanaman. Walaupun sistemnya nampak ringkas tetapi sekiranya kita tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang asasnya, ia akan mendorong ke arah pembaziran kos yang kita sendiri tidak sedar implikasinya dan menyumbang kepada pengingkatan kos pengeluaran dan kegagalan sesuatu projek tanaman fertigasi.

sekian.

RUHIZAL NAZMAN ALIAS

Tiada ulasan: