Selasa, 5 Oktober 2010

ORGANIC FARMING....?!!

Pada asalnya Nia Agrotech berhasrat untuk menceburi bidang peladangan fertigasi berasaskan organik...100% organik bermula daripada permilihan biji benih, penyediaan medium tanaman, penggunaan baja organik dan racun organik...Namun terdapat beberapa halangan dan permasalahan yang berlaku menyebabkan hasrat ini terpaksa difikirkan semula....

Kalau dilihat dan dikaji mengenai perladangan organik ini terutamanya dalam aspek fertigasi, terdapat beberapa ketidaksesuaian dan isu-isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu disebabkan bidang ini merupakan cabang yang berbeza. Memang diakui, penanaman organik secara fertigasi telah dilakukan di Negara Jepun dan Eropah disebabkan permintaan yang tinggi serta bahan input yang senang didapati di sana malah telah terbukti berkesan. Persoalannya di Malaysia, kita masih lagi jauh dari segi teknologi dan bahan input yang menjurus ke arah organik dan sekiranya ada sekalipun, kosnya agak tinggi dan sukar didapati. Oleh itu agak sukar untuk mendapat hasil 100% organik. saya cuba rungkaikan apa yang saya maksudkan ini....

Pemilihan biji benih organik.

Kebanyakkan biji benih yang boleh didapati di pasaran tempatan adalah biji benih jenis hybrid F1 sama ada benih cili dan rock melon. Biji-biji benih ini sebanarnya telah dirawat dengan bahan kimia sama ada menggunakan racun kulat 'tyram' dan sebagainya. Racun kimia ini digunakan untuk merawat biji-biji benih tersebut daripada penyakit biji benih, ketahanan biji benih dan sebagai antibodi awalan kepada biji benih apabila membesar kelak. Seolah-olah bayi yang baru lahir dan disuntik dengan dos-dos 'tiga serangkai' la, polio la dan macam-macam lagi.Pada peringkat ini pun, sudah ada elemen kimia yang terlibat menyebabkan biji benih yang digunakan tidak lagi organik. Memang ada penyelesaiannya tapi makan masa dan kos yang tinggi iaitu melalui kajian biji benih dan kejuruteraan benih yang betul-betul bebas dari sebarang bahan kimia serta antibodi yang menggunakan bahan-bahan organik. satu lagi kajian yang baik untuk MARDI melihat perkara ini....

Pemilihan Medium Tanaman

Menggunakan sistem fertigasi, cocopeat dengan pH6.5 digunakan dan ada diantara pengusaha menggunakan bahan seperti campuran cocopeat dan sekam bakar, sekam bakar sahaja pelbagai jenis medium yang berfungsi untuk 'memegang' larutan baja dalam polibeg tanpa sebarang reaksi kimia yang lain dan mampu menampung larutan baja dalam jangka masa tertentu sahaja. bahan medium ini tidak bertindak sebagai baja kepada tumbuhan tetapi hanya sebagai medium. Tidak dalam isu perladangan organik, kerana medium yang perlu digunakan bukan sahaja bertindak sebagai 'pemegang' baja malah bertindak sebagai baja itu sendiri yang membantu pertumbuhan akar pokok dan dibantu dengan baja-baja organik yang lain untuk memberikan nutrient yang diperlukan oleh tumbuhan. Saya didatangi oleh satu kumpulan yang cuba memperkenalkan kompos sebagai medium yang berasaskan organik. Dikatakan kompos yang dibawa merupakan antara yang terbaik di dunia dan barasaskan bahan organik yang hingga kini saya sendiri pun belum dapat melihatnya sendiri. Dikatakan juga kompos ini mampu memendekkan jangka masa tuaian hingga 40% dari penggunaan medium semasa dan mampu mengatasi pelbagai masalah berkaitan penyakit dang jangkitan kulat. Malangnya, tidak pernah disebut mengenai harga pasaran kompos tersebut dan yang lebih menyusahkan, kompos tersebut hanya bertindak dengan sempurna sekitanya dicampurkan dengan tanah gambut, (3mm lapisan atas) dan tanah gambut hendaklah dari sumber yang organik, maksudnya di atas sumber tanah gambut tersebut tidak pernah ditanam apa-apa lagi atau ada elemen baja kimia di dalamnya (Cth:-tanah gambut di ladang-ladang kelapa sawit atau ladang-ladang nenas) yang banyak di sekitar Klang, Selangor. Isunya, sekiranya kompos tersebut yang terbaik di dunia, mengapa perlu ada bahan lain yang perlu dicampurkan untuk mengaktifkannya dan agak sukar untuk mendapat bekalan tanah gambut seperti yang dikehendaki di Malaysia berbanding 'top soil' serta akan berlaku peningkatan kos operasi ladang. Bagi pengusaha-pengusaha ladang sayuran secara konvensional, mereka berpendapat bahawa sekiranya harga kos kompos tersebut melebihi kos baja tahi ayam yang digunakan sekarang yang juga organik, ia merupakan 'unnecessary cost' yang perlu dikeluarkan berbanding dengan kos operasi sekarang. Sepatutnya isu harga atau peningkatan kos bahan input perlu diambil perhatian oleh penjual-penjual kompos organik ini agar tidak hanya membebankan pengusaha malah mampu menjimatkan kos operasi dan meningkatkan hasil tani mereka.

Penggunaan baja larutan organik.

Dalam fertigasi, kita menggunakan larutan baja berasaskan keperluan nutrient tanaman. Penggunaan bahan-bahan seperti Kalsium Nitrat, Potassium Nitrat, MKP dan Magnesium Sulfat adalah antara bahan campuran untuk melengkapkan formula baja fertigasi. Bahan-bahan ini senang didapati di pasaran dan harganya pun sedah mula menunjukkan penurunan yang positif. Pada peringkat awal, apabila diberitahu mengenai baja organik, my first impression is that baja organik ini adalah bahan-bahan pejal yang akan larut dengan sendirinya dalam tanah/medium tanaman melalui air siraman dan bukannya dalam bentuk larutan. Tetapi apabila diberitahu mengenai larutan baja organik, saya berasa lega kerana masih boleh digunakan dengan menggunakan sistem fertigasi. Persoalannya sejauh mana baja larutan ini mampu membekalkan nutrient kepada tumbuhan dalam polibeg ini dan berapa kos pembajaan semusim untuk seekar ladang fertigasi dan bagaimana untuk kita mengawal penggunaan baja dan formula mengikut jenis tumbuhan yang ditanam. Jika dilihat dalam sudut yang lain, setiap tumbuhan mempunyai keperluan nutriet yang berbeza. Keperluan tanaman padi berbeza dengan keperluan nutrient rock melon, cili dan timun seperti kita sendiri, setiap manusia mempunyai keperluan nutrient diri yang berbeza, ada yang perlu lebih gula dalam darah, ada yang perlu lebih protein atau karbohidrat dalam badan. Sekiranya larutan baja organik ini boleh digunapakai oleh semua jenis tumbuhan, maksudnya baja ini adalah baja asas nutrient (NPK) sahaja dan tak ada yang istimewa pun tentangnya. Sama sahaja macam kita campurankan tanah hitam, tanah merah / top soil , baja tahi ayam dan tanah bakar dalam polibeg kemudian disiram dengan air. Pokok tetap membesar tapi kualiti dan hasilan pokok agak diragui. Satu perkara lagi, petua ini saya dapat dari seseorang yang mempunyai pengalaman dalam sistem organik nie. Untuk mengetahui sama ada sesuatu larutan baja itu organik 100% atau tidak, pastikan sifatnya alkali dan bukannya asid. Manakala untuk mengetahui campuran bahan baja itu organik atau tidak, baunya lebih kepada 'bau tanah/earthly smell' dan sejuk. Sekadar berkongsi sahaja nie, kalau salah tolong tunjukkan....

Penggunaan Racun organik

Dalam semua aspek organik, aspek ini yang amat menarik perhatian saya. Saya memang mencari bahan racun berasaskan organik yang benar-benar berkesan bukan sahaja menyembuhkan penyakit tumbuhan malah bertindak sebagai penghalang / repellant kepada serang serang perosak serta menguatkan antibodi tumbuhan melawan penyakit. Nemun sehingga kini, masih belum ada produk yang mampu bertindak demikian dan jika wujud pun harga sungguh tidak munasabah. Pada pendapat saya, tanggapan masyarakat kita pada masa ini, hasil keluaran tani yang diketegorikan sebagai organik adalah apabila pengusaha menggunakan baja organik seperti tahi ayam dan sebagainya serta menggunakan racun serangga organik terhadap tanaman, maka hasilnya diklasifikasikan sebagai organik. terserah kepada tanggapan dan definisi masing-masing cuma kita perlu lebih sedar bahawa penggunaan racun kimia yang berlebihan akan mendatangkan kesan buruk untuk jangka masa panjang terhadap kesihatan pengguna. Sekiranya kita mempunyai alternatif untuk menggunakan racun organik, lebih baik digunakan sahaja berbanding dengan racun kimia.

Daripada rungkaian ini, isu pokoknya adalah sejauhmana keberkesanan penggunaan bahan organik terhadap tanaman yang menggunakan sistem fertigasi dan sejauhmana 'organic farming' ini mampu menjimatkan kos pengeluaran berbanding dengan sistem fertigasi dan konvensional agar pengguna dapat menikmati harga hasil tani yang rendah dan pada masa yang sama membantu pengusaha untuk mencapai keuntungan yang maksima.

Marah orang organik dengan statement nie but perkara ini perlu dijelaskan dalam bentuk yang paling efektif dan praktikal agar kita mampu mencari jalan penyelesaian yang baik bukan sahaja untuk pengusaha tetapi untuk pengguna.

sekian.

2 ulasan:

Zakry berkata...

Komen dan pandangan ke atas artikel “Organic farming”

Penggunaan racun Thiram@Thuram lebih kepada bertujuan untuk mengawal/menghapuskan serangan kulat pada biji benih semasa dalam SIMPANAN. Sekiranya benih tidak dirawat dengan racun berkenaan ia akan menjejaskan kualiti biji benih (reput, peratus percambahan kurang) semasa simpanan. Maka, jika ingin menjalankan projek pertanian organik, hal ini tidak menjadi isu, hanya perlu membilas/mencuci biji benih sehingga kesan racun hilang. Rawatan thiram adalah amalan biasa dan sebahagian daripada standard oleh pengeluar biji benih. Untuk amalan organik, biji benih yang telah direndam dan dibilas untuk menghilangkan kesan racun boleh terus disemai atau boleh dilakukan pra-rawatan dengan biostimulant (produk organik ini masih kurang di pasaran tempatan).

Penggunaan media campuran dalam sistem fertigasi organik MESTI mempunyai sifat memegang (sumber air dan nutrien) dan membebaskan nutrien ATAU hanya memegang (sumber air dan nutrien) sahaja. Sepatutnya, di dalam apa-apapun sistem fertigasi (organik atau bukan organik) yang diamalkan, media yang mempunyai sifat memegang sumber air dan nutrien DAN yang membebaskan nutrien adalah pilihan yang paling baik. Untuk memastikan kedua-dua sifat ini wujud dalam sistem fertigasi, maka pemilihan jenis media yang hendak digunakan sangat penting. Contohnya, penggunaan cocopeat dan kompos boleh mewujudkan kedua-dua sifat tersebut. Iaitu, cocopeat boleh berperanan sebagai penyimpan/pembekal sumber air dan nutrien (samada ia dari sumber bukan organik (baja AB) atau sumber organik (larutan baja organik) kerana sifatnya seperti span. Manakala, kompos boleh juga menyimpan air tetapi tidaklah sehebat cocopeat dan ia juga boleh menyediakan sumber nutrien untuk tanaman (ini adalah peranannya yang utama). Kompos yang baik kebiasaannya mampu menyediakan sumber nutrien yang lengkap (makro dan mikronutrien). Walaubagaimanapun, di pasaran tempatan, didapati kualiti setiap kompos adalah berbeza-beza (maka nutrien ia berbeza dan mungkin tidak dapat melengkapkan keseluruhan keperluan tanaman) oleh pengeluar, terutamanya pengeluar tempatan. Kompos yang baik mestilah kurang berbau, saiz partikel lebih halus dan seragam dan tidak panas.

Larutan baja organik yang dilaporkan boleh diaplikasikan kepada pelbagai jenis tanaman memang tidak mustahil, ia sememangnya boleh dilakukan. Ia tidak sama sekali membawa maksud, bahawa ia hanya mengandungi baja NPK sahaja. Masalah yang timbul di sini adalah pengeluar/penjual/pengedar larutan baja organik sebenarnya tidak memahami konsep dan keperluan nutrien oleh tanaman. Dalam aplikasi larutan organik, cara aplikasi dan frekuensi (kekerapan) atau jumlah aplikasi (volume/application) untuk sesuatu tanaman haruslah diketahui terlebih dahulu dan diselidiki. Kebanyakan pengeluar/pengedar mengabaikan soal ini, apa yang mereka tahu, produk mereka boleh dijual, walhal produk tersebut mungkin ada kebaikannya yang tersendiri. Berdasarkan kepada pemerhatian, kebanyakan produk organik yang dijual di pasaran adalah berasaskan teknologi dari luar negara, dibeli dan dibungkus kembali menjadi produk sendiri, maka produk tersebut mungkin memberi kesan yang berbeza kepada ekosistem pertanian tempatan berbanding negara asal pengeluar.
Sekian, pandangan saya.

Zakry F.A.A., M.Sc. (Soil Microbiology & Biofertiliser)
Universiti Putra Malaysia
zakry@btu.upm.edu.my

KHai berkata...

Terima kasih kerana berkongsikan info yang amat bermakna untuk di ketahui mengenai pertanian organik ini...