Jumaat, 24 Oktober 2008

Survey Kursus Fertigasi...

Saya memerlukan maklum balas daripada semua bloggers and individu or company tentang keperluan untuk mengadakan kursus sistem fertigasi.
Antara maklumat yang diperlukan adalah seperti berikut:-
  1. Jangkamasa kursus
  2. Yuran Kursus
  3. Input kursus i.e Sistem asas peralatan dan pemasangan/ Cara penjagaan pokok/ Pembajaan dan formula/ Kawalan Penyakit dan Serangga Perosak/ Pengurusan Ladang/ Pemasaran/ RPH dsbg
Maklumat ini perlu untuk saya mengadakan persiapan sekiranya saya ingin mengadakan kursus Fertigasi ini supaya apa saja maklumat yang akan diberi kepada peserta bertepatan dengan kehendak dan keperluan mereka. Tidak ada gunanya mengadakan kursus sekiranya para peserta pulang tetapi masih belum tahu tentang apa yang dipelajarinya disebabkan maklumat yang diperlukan tak sampai.

Ramai yang berminat untuk membuat penanaman menggunakan sistem fertigasi sama ada untuk hobi atau pun perniagaan cuma kadang kala maklumat yang sedikit dan sebenar tak sampai menyebabkan kegagalan projek seperti ini. Lantas, kegagalan ini dilihat sebagai satu pembaziran dan propaganda yang mengatakan bahawa projek seperti ini tidak berdaya maju. Sekiranya ia dijalankan secara sistematik, saya pasti akan berjaya namun modifikasi yang keterlaluan atau maklumat terutama dari segi pembajaan dan penjagaan yang kurang akan menyebabkan pokok ditanam mengalami pelbagai masalah.

Harap saya akan mendapat maklum balas yang sesuai dari semua pihak...

Harga Elemen Baja pada 14 Oktober 2008 (Fertitrade)

Kalsium Nitrat ( 25kg) - RM85.00
Pottassium Nitrat (25kg) - RM170.00
MKP (25kg) - RM355.00
SOP (25kg) - RM155.00
MgSo4 (25kg) - RM35.00

Fe-Lo (EDTA) 1 kg - RM46.00
Mn 1kg - RM46.00
Zn 1kg - RM46.00
Hi-Bor 1 kg - RM18.00
Cu 1kg - RM48.00
Ammonium Molibdate 250g - RM200.00

Harga untuk 10 stok 200 liter dengan bancuhan sendiri menggunakan formula baja asas sekarang menelan belanja hampir RM5000.00. Tetapi hanya pada peringkat permulaan sahaja, untuk bancuhan seterusnya, kos akan menjadi lebih rendah sedikit disebabkan ada di antara elemen yang digunakan ini mampu bertahan sehingga 100 kali stok...itupun mengikut sukatan dan formula yang saya gunakan.

Khamis, 23 Oktober 2008

Ladang Baru untuk Cili





Perancangan untuk membuka satu lagi ladang sudah lama dibuat namun ini bergantung kepada kemampuan untuk mengeluarkan modal. Namun peluang telah diberikan lebih awal daripada yang dijangka, akhirnya kerja-kerja pembukaan ladang baru telah pun berjalan pada bulan Ogos 2008 di Lot 14565, Km 27, Sg Plong, Sg Buloh (Belakang pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Gombak/Petaling) seluas 2 ekar.

Kerja-kerja earthwork telah pun dilakukan dalam tempoh tersebut dan hampir seekar telah siap dengan susunan polibeg dan lapikan silvershine, cuma sekarang nie menunggu masa untuk memasukkan sistem fertigasi. Telaga tiub telah dibuat cuma pam sahaja yang masih belum masuk...dijangka kerja-kerja penanaman akan dilakukan dalam masa 2 minggu dari sekarang.

Ladang ini akan menempatkan hampir 9,000 beg cili dan penanaman dilakukan secara berperingkat. Usaha ini dapat dilakukan atas sebab ladang di Merbau Sempak akan menumpukan sepenuhnya kepada pengeluaran 'Rock Melon' di samping untuk meneruskan hubungan dengan pelanggan-pelanggan tetap untuk cili merah.


Ladang ini masih belum dibuka untuk kunjungan atas sebab kerja-kerja yang sedang dilakukan. Mungkin sesuai untuk dijadikan ladang latihan sementara di sebabkan kerja-kerja awal ini melibatkan semua aspek.

Doakan semoga berjaya, dari aspek kemajuan dan kewangan.


Isnin, 22 September 2008

Penanaman Rock Melon



Setelah hampir 3 musim saya menanam cili secara fertigasi dengan menggunakan RPH, kini dengan peluang yang ada saya telah berjaya membuka 2 ekar lagi ladang cili di Sg Plong, Sg Buloh. Atas nasihat orang lama dalam penanaman secara fertigasi ini, maka penumpuan di ladang lama lebih kepada penanaman rock melon atas sebab saya mempunyai 6 RPH yang mampu memuatkan hampir 5500 beg dan cili yang ditanam secara terbuka akan dilaksanakan di ladang baru.
Antara faktor perubahan ini termasuklah:-
  1. Bilangan pokok rock melon yang mampu ditanam melebihi daripada bilangan pokok cili yang boleh dimuatkan dalam RPH. Satu RPH mampu memuatkan hampir 800 beg sekiranya dibandingkan dengan cili yang hanya muat untuk 200 beg sahaja.
  2. Anggaran pendapatan yang lebih tinggi. Penambahan bilangan pokok bermakna peningkatkan hasil tanaman/tuaian. 200 pokok cili yang dianggarkan mampu mengeluarkan 3 kg semusim(7bulan) dan menghasilkan pendapatan kasar hampir RM3,000 iaitu RM428.00 sebulan manakala 800 rock melon dianggarkan mampu mengeluarkan 1200kg semusim (3bulan) dan menghasilkan pendapatan kasar hampir RM4200.00 iaitu RM1400.00 sebulan.
  3. Purata musim setahun untuk cili hanya dalam lingkungan 1.5 kali setahun manakala rock melon mencecah 4 kali/musim setahun.
  4. Penanaman cili di bawah RPH mempunyai masalah seperti pertumbuhan pokok yang segar dan tinggi tetapi penghasilan bunga dan buah yang amat terhad disebabkan keadaan cuaca di tanah rendah yang terlalu panas dan kekurangan Oksigen (O2) pada waktu malam sedangkan cili memerlukan hampir 90% O2 untuk bernafas. Manakala Rock Melon pula tidak mempunyai masalah berikut disebabkan pusingan semusim yang singkat, penumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada penghasilan buah yang berkualiti dan penggunaan baja dan racun yang dapat dikurangkan.
  5. Penyakit cili yang senang merebak sekiranya di bawah RPH walaupun pelbagai langkah pencegahan dilakukan manakala rock melon, penyakit yang agak kurang namun serangan kulat amat banyak. Namun ini dapat diatasi sekiranya penjagaan rapi dilakukan dalam masa-masa tertentu.
  6. Berbaloi...!!!


Isnin, 11 Ogos 2008

Cili Fertigasi;- Dari Hobi ke Ladang..

Dalam perbincangan dengan rakan-rakan sepejuangan, kebanyakkan mereka berminat dengan penanaman cili secara fertigasi. Namun atas sebab-sebab tersendiri, ada kalangan mereka yang ingin mencuba dahulu penanaman cili fertigasi ini secara kecil-kecilan sebelum melangkah kepada pembukaan ladang sendiri.

Satu persoalan yang ada di fikiran, adakah satu langkah yang bijak untuk mencuba secara kecil-kecilan dahulu sebelum membuka ladang sendiri? Kita cuba menyingkap kembali antara faktor-faktor terjadinya senario ini sekarang dan impaknya untuk masa hadapan...sekadar satu pendapat peribadi...

Antara faktor-faktor yang sering diutarakan adalah seperti berikut:-

1. Kekurangan Modal untuk membuka ladang
- Untuk membuka sebuah ladang fertigasi memerlukan modal yang agak besar, hampir RM90,000.00 seekar. Untuk mendapat modal permulaan ini agak mustahil atau sukar bagi sesetengah orang menyebabkan mereka 'risau' dengan pelaburan yang tinggi, seolah-olah satu pelaburan jangka masa panjang yang belum pasti. Walau pun ada di antara kita berkemampuan pun, masih timbul kerisauan seperti ini memandangkan 'knowledge' dalam fertigasi ini masih lagi di peringkat awalan serta 'risau' tentang risiko pelaburan yang dibuat nanti.

2.Ingin belajar tentang selok-belok penanaman cili fertigasi dahulu sebelum berani mencuba untuk membuka ladang.
- Pendapat yang popular dikalangan penanam cili fertigasi secara mini. (antara 10 - 500 beg). Perasaan ingin tahu serta minat dengan kaedah penanaman ini membuatkan mereka mencuba secara kecil-kecilan dahulu dengan niat untuk mempelajari selok-belok penanaman, sistem dan penyakit yang berkaitan.

3.Komitmen masa dan tenaga yang agak terhad.
- Rata-rata orang yang berminat masih bekerja sepenuh masa dengan kerajaan atau pun swasta menyebabkan sukar untuk memberikan komitmen dari segi masa dan tenaga. Memang tidak dinafikan, penanaman secara fertigasi ini adalah secara automatik dan tak memerlukan masa yang panjang berbanding dengan 'nature farming' tetapi penanaman cili ini masih memerlukan penjagaan yang konsisten dan rapi seolah-olah 'menjaga baby' yang masih kecil. kegagalan menjaga dengan baik boleh membawa kepada pelbagai permasalahan yang bakal timbul. Ada juga dikalangan kita yang berhasrat untuk mengusahakan sepenuh masa kaedah penanaman ini namun mahu mencuba dahulu secara kecil-kecilan sebelum 'berani' meletakkan surat resign dengan majikan masing-masing.

Impak dan penyelesaian...sekadar pendapat..,

Ketiga-tiga faktor ini sering berkait antara satu sama lain. Yang penting ketahanan dan kekuatan serta keazaman diri untuk sama ada menjadikan bidang pertanian ini sebagai satu sumber pendapatan hidup atau sekadar berada di pinggiran.

Masalah kekurangan modal boleh diatasi dengan pelbagai jenis pinjaman termasuk pinjaman peribadi, kawan-kawan, saudara mara dan pelbagai agensi kerajaan yang sudi memberi pinjaman untuk pertanian. Walau pun kekadang pelbagai karenah birokrasi yang akan kita hadapi namun sekiranya kita bertekad untuk mendapatkan modal serta pinjaman, pasti ada jalan.

Masalah komitmen masa dan tenaga hanya dapat diatasi dengan dua cara. Pertama, membuat perancangan yang sempurna untuk beralih ke bidang pertanian, berani serta tawakal dengan meletakkan jawatan sekarang untuk menjadi usahawan atau petani moden. Jika dikira tentang komitmen hutang yang ditanggung semasa bekerja sekarang termasuk bayaran kad kredit, ansuran rumah, sara hidup keluarga dan sebagainya, memang tiada kesudahannya. Naluri manusia ini sentiasa cuba untuk menambahkan hutang dan sememangnya sukar untuk hidup tanpa hutang. Kalau sanggup, terus melangkah ke bidang pertanian ini dan bersedia dengan apa saja yang datang. Memang senang untuk kita bercakap, namun in terletak kepada pertimbangan diri masing-masing. Kedua, sekiranya ada modal atau mampu mencari modal serta tanah sama ada disewa atau kepunyaan sendiri tapi tak mampu untuk memberikan komitmen, upah saja orang lain untuk memasang dan menjaga kebun kita sendiri. Pertanian secara fertigasi ini bukannya perlu mangangkat cangkul setiap hari malah kerja penjagaan menjadi mudah sekiranya ada yang mampu untuk menjaganya bagi pihak kita. Apa yang perlu kita lakukan, datang ke ladang sekadar melihat, mempelajari sedikit sebanyak dan yang paling penting mengutip hasil jualan tuaian ladang. Sekadar pandangan.....

Maslaah ingin belajar, semakin besar kita buka ladang semakin banyak masalah yang perlu kita hadapi dan semakin besar masalah maka semakin luar pengetahuan dan pengalaman. itu saja yang dapat disimpulkan.

Namun tidak ada masalah tentang perasaan ingin mencuba dan bermula dengan kecil-kecilan ini. Yang penting keazaman dan sikap tidak mengenal letih dan putus asa. Ada yang bermula secara kecil dan sekarang sudah mampu mengusahakan ladang seluas 3-4 ekar. Jadi penyelesaian ini terletak pada diri sendiri...

Fakta kes 1:-

Usahawan baru, En Jaafar dan Cik Wahida yang sudah membuka ladangnya sendiri dan sekarang sedang seronok mengutip hasil cilinya. Pelbagai halangan yang ditempuhi sebelum dapat merealisasikan impiannya itu. Bermula dengan masalah kewangan, masalah mencari tanah yang sesuai, mencari pekerja sehinggalah masalah pengurusan. Namun berkat kesabaran dan kesungguhan beliau, akhirnya dapat menikmati hasil pulangan yang baik. Beliau sebelum ini adalah seorang pekerja swasta di syarikat komputer di Bukit Damansara, mempunyai keluarga dengan 2 orang anak yang masih kecil, sanggup berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pertanian. Sekarang pengeluaran kebunnya yang sudah mencapai hampir 80kg sehari dengan harga jualan RM6.00 sekilogram.

Fakta Kes 2:-
En Marno bersama Pak ciknya di Paya Jaras juga amat berminat dalam bidang pertanian. Namun komitmen kerja yang sibuk menyebabkan mereka tak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kebun yang baru mula naik. Namun penyelesaian yang dibuat adalah dengan mengupah pekerja untuk menjaga kebunnya di samping meluangkan masa di hujng minggu malah sebelum dan selepas pulang dari kerja untuk melihat permasalahan yang ada di kebun mereka. Mereka masih bekerja hingga sekarang dan insyaallah sekira segala berjalan dengan baik, akan mula mengutio hasil pada Oktober 2008. Saya berharap pelaburan yang dikeluarkan oleh mereka akan memberikan pulangan yang lumayan.

Fakta kes 3:-
Pn Rina dari Kampung Kubu Gajah, Sg Buloh, seorang suri rumah sepenuh masa telah berjaya menyiapkan projek mini fertigasinya di belakang rumah sebanyak 350 beg dengan tanaman bendi dan cili padi. Secara purata sekarang, pendapat bersih semusim untuk cili padi dan bendi saja telah mencecah RM1500.00 dan sekarang ini masih belum mampu untuk menampung pasaran yang semakin banyak permintaan. Insyaalah, bila masa yang sesuai nanti, beliau berhasrat untuk mengembangkan lagi penanaman cili fertigasi ini ke kawasan yang lebih luas atas tanah sendiri

Semuanya bergantung pada niat dan tekad diri masing-masing namun pertanian ini adalah satu cabang perniagaan yang luas...tapi di sebalik kejayaan seorang usahawan tani pasti ada kisah yang tersendiri, keperitan, kepayahan serta cabaran yang hebat sebelum mampu bergelar usahawan yang berjaya....cuma jangan cepat lupa diri....



Jumaat, 8 Ogos 2008

Ladang Satelit 1 - Kg Beluru, Kuala Kangsar, Perak





Semangat yang cekal dan usaha yang berterusan menjadi pegangan untuk berjaya dalam bidang pertanian ini. Inilah yang boleh diceritakan tentang usaha En Nazri dan En Mie setelah berjaya membuka ladang cili fertigasi pertama di Kg Beluru, Kuala Kangsar sebanyak 3000 beg.

Usaha Nia Agrotech memberi tunjuk ajar dan sedikit panduan serta dorongan telah membuahkan hasil yang baik apabila diberitahu pokok yang umurnya masih sebulan, telah pun ditempah hasilnya oleh pihak yang ingin memasarkannya.

Minat untuk membuka ladang cili ini mula dinyatakan kepada pihak kami sejak awal 2008 lagi namun pelbagai halangan terpaksa ditempuhi oleh En Nazri dan Mie ini yang berkaitan dengan pemilihan tapak yang sesuai, saiz yang sesuai, modal dan pinjaman. Namun usaha yang tak pernah berhenti untuk mencari jalan penyelesaian telah membantu usahawan muda ini untuk terus membuka ladang cili di atas tanah milik keluarga en Mie di Kampung Beluru, Kuala Kangsar.

Peranan Nia Agrotech dalam menjayakan ladang ini termasuk pembekalan barangan fertigasi, pemasangan dan khidmat nasihat yang berterusan sehinggalah ladang ini betul-betul mampu berdiri dengan sendiri. Proses pemasangan dan penanaman dimulakan dengan aktiviti meratakan tanah, memasukkan cocopeat ke dalam polybeg serta memasang silvershine di atas tapak projek yang dilakukan sendiri oleh usahawan ini dengan bantuan pekerja mereka. Pada masa yang sesuai, team Nia Agrotech seramai empat orang turun ke tapak projek selama 3 hari berturut-turut untuk memasang sistem dan menyusun sebanyak 3000 beg. Aktiviti semaian dilakukan sendiri oleh usahawan terlibat dan dijangka ladang ini akan mula mengeluarkan hasil pada pertengahan bulan Oktober 2008 dengan pengeluaran melebihi 6 tan semusim.


Dalam Perbincangan terkini dengan En Nazri, Ladang ini telah menarik perhatian pihak Pertubuhan Peladang Kawasan dan Yayasan Tekun Nasional Perak untuk memberi pinjaman modal kepada mereka. di Samping itu, pihak FAMA dan pemborong tempatan pula sudah mula menunjukkan minat untuk menjadi pemborong kepada hasil yang bakal dikeluarkan nanti. Persoalannya nanti, mampukah ladang ini memenuhi permintaan semasa....ini hanya akan terjawab bila usahawan ini mula mengutip hasil tuaian mereka nanti. Tahniah diucapkan kepada En Nazri dan En Mie atas pwmbukaan ladang baru ini.

untuk maklumat lanjut mengenai projek ini, adalah baik sekiranya dapat menghubungi sendiri pengusaha yang terlibat...terutamanya pengusaha-pengusaha di sekitar perak utara...
En NAzri - 014-3800888 dan En Mie - 012-6304862

Selamat..............


Selasa, 8 Julai 2008

WORD OF WISDOM

PERNIAGAAN PERTANIAN UMPAMA LALUAN AIR MEMASUKI SEBUAH LABU AIR, ADA MASA SEMPIT DAN ADA MASA LUAS.....

SEKALI MENEBANG POKOK, MATA PARANG JANGAN BERPATAH BALIK..