Jumaat, 22 Jun 2007

Pengenalan


Penanaman Secara Fertigasi telah hampir 20 tahun dijalankan di Malaysia terutamanya di sekitar kawasan Cameron Highlands namun penyelidikan yang tidak berhenti dilakukan untuk meng'komensil'kan sistem penanaman ini telah membuka peluang yang luas kepada pengusaha-pengusaha ladang untuk meningkatkan hasil keluaran tanaman masing-masing. Lantas, apabila melihat peluang yang luas ini, tergerak untuk aku menceburi bidang pertanian ini dengan harapan, aku mampu menjadi peladang yang berjaya suatu hari nanti.
Pada masa sekarang, aku sedang mengusahakan penanaman cili secara fertigasi di tanah seluas
1 ekar tanah di Kawasan Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh dengan berbekalkan sedikit pengalaman dan modal yang banyak untuk menjayakan projek ini.

Sejarah/Idea awal Projek ini

Pada mulanya, saya merancang untuk menjalankan projek ternakan keli secara kanvas namun berdasarkan kajian dari segi kos, harga pasaran dan kesesuaian tempat, saya terpaksa mencari alternatif yang lain. mujur Arif datang dan memberi pandangan mengenai kebaikan penanaman cili secara fertigasi. Seingat saya, perjumpaan ini diadakan pada bulan Februari 2007 di Restoren D5, Kota Damansara. saya terus melakukan beberapa kajian terperinci mengenai kesesuaian dari aspek kos, harga pasaran dan modal, tanah serta cara-cara fertigasi ini dijalankan. tempat pertama yang saya lawati ialah di Kampung Kerdas, Gombak di mana telah dijalankan projek seumpama ini selama hampir 1 bulan. saya sempat berjumpa dengan En Hatta yang mengusahakan projek ini di sana untuk mendapatkan sedikit pandangan dan ilmu tentang fertigasi ini. Kemudian saya melawat pula ke tapak projek fertigasi 'Rock Melon' di Banting dan berjumpa dengan Edy untuk melihat sendiri dengan lebih dekat bagaimana Rumah Pelindung hujan (RPH) dibina dan sistem perpaipan dibuat. Seterusnya, kajian saya ini membawa saya ke MARDI dan berjumpa dengan Dr. Illias untuk mendapatkan penerangan yang lebih lanjut tentang pembajaan, RPH, pengairan serta serangan serangga perosak. Alhamdulillah, Dr Illias sendiri bersetuju untuk menjadi mentor kepada saya dalam menjalankan projek ini. Dalam masa yang sama, saya mendaftarkan diri dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Gombak/Petaling dan dengan bantuan PPK, saya dapat menghadiri kursus Latihan Sangkut Tanaman Sayur secara Fertigasi di Lojing, Gua Musang dibawah kelolaan En Mustafa Kamal, seorang pengusaha ladang tomato yang banyak memberi tunjuk ajar secara praktikal kepada saya. kursus ini amat berbaloi walaupun terpaksa menghabiskan masa selama 5 hari di sana. saya syorkan kepada yang baru dalam bidang ini, hadirilah kursus sebegini agar kita mendapat ilmu pengetahuan serta berkongsi pengalaman dengan orang-orang yang telah lama menceburi bidang tanaman ini.

Proses kajian ini berlangsung hampir 2 bulan sehingga membawa kepada penulisan kertas kerja untuk mendapatkan pinjaman pertanian serta untuk menilai sendiri sejauhmana projek tanaman ini dapat memberi keuntungan. Pelbagai masalah awal saya tempuhi namun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk meneruskan projek ini. permasalahan ini akan saya bincangkan dalam siri yang seterusnya.